SEREMBAN - Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun secara berkumpulan, bulan lalu.
Tertuduh, pembantu kedai pakaian terpakai (bundle), Neo Jing Cong, 23, penyelia tapak, Wong Chee Keong, 19, serta dua lagi tertuduh juvana berusia 17 dan 14 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Jing Cong, Chee Keong dan seorang tertuduh berusia 17 tahun didakwa secara berkumpulan telah merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 1.30 pagi 24 Januari lalu di dalam bilik sebuah hotel di Bahau, Jempol.
Selain itu, dua tertuduh sama iaitu Chee Keong dan, tertuduh berusia 17 tahun serta 14 tahun didakwa secara berkumpulan merogol mangsa pada tarikh sama di dalam bilik sebuah hotel berbeza di Bahau, Jempol pada jam 2 petang.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes dilakukan adalah serius dan melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Bagaimanapun katanya, mahkamah diharap dapat mengenakan jumlah jaminan tinggi jika membenarkannya.
Peguam, Datuk P M Nagarajan yang mewakili Jing Cong dan Chee Keong dalam rayuannya memohon jaminan minimum atas alasan kedua-dua tertuduh berpendapatan rendah.
Sementara itu, Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili tertuduh berusia 17 tahun dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya hanya bersekolah sehingga darjah enam dan bekerja sebagai pengumpul besi buruk.
Tertuduh juvana berusia 14 tahun tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak menganggu mangsa dan keluarganya.
Kes akan disebut semula 30 Mac depan untuk serahan dokumen.