‘Kami kehilangan tokoh bapa UIAM’ - Rektor UIAM

Iklan
Dzulkifli ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi pada Khamis.
BANGI - Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merakamkan ucapan takziah terhadap pemergian Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan pada Khamis.

Menurut Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat UIAM khususnya warga UIAM dan para alumni.

"Seluruh warga UIAM dan para alumni mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga roh beliau ditempat dalam kalangan orang yang beriman," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Dzukifli, Allahyarham Mohd Kamal juga adalah salah seorang ilmuwan dalam dunia akademia di mana beliau banyak menghasilkan terbitan buku serta kajian-kajian Islam yang banyak dijadikan rujukan di seluruh dunia.

Beliau berkata, Allahyarham juga adalah salah seorang insan yang banyak menyumbang sewaktu penubuhan UIAM pada 40 yang lalu.

"Allahyarham adalah salah seorang tokoh dan ilmuwan yang sangat dihormati dan disegani, selain menjadi antara watak penting dalam penubuhan UIAM sejak 1983,” ujarnya.

Pada Februari 2022 Allahyarham dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Allahyarham meninggal dunia pada usia 80 tahun disebabkan komplikasi berkait rapat dengan prosedur surgeri awal pagi Khamis dan selamat dikebumikan sekitar jam 11:40 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Bangi.