Pemergian Allahyarham Mohd Kamal seperti satu gudang ilmu terbakar

Iklan
Muhammad Nasir dan Tuan Ibrahim.

BANGI - Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menyifatkan pemergian bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan seperti satu perpustakaan besar terbakar dan musnah kerana pada dirinya ada pengetahuan yang pelbagai.

Menurut Muhammad Nasir, pemergian Allahyarham juga satu kehilangan besar terutamanya dalam dunia integriti.

Iklan
Iklan

"Beliau merupakan seorang pejuang anti rasuah. Bagi saya susah untuk kita cari pengganti yang memiliki keperibadian dalam membanteras isu rasuah sepanjang hayat.

"Bagi Kumpulan Karangkraf dan Rasuah Busters, kami amat terasa atas pemergiaan beliau kerana beliau merupakan salah seorang daripada penggerak Rasuah Busters,” katanya ketika di temui di Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi pada Khamis.

Iklan

Tambah Muhammad Nasir, Allahyarham adalah seorang manusia yang sangat merendah diri.

"Allahyarham sangat mudah untuk didekati, teramat mesra dan tidak lokek berkongsi ilmu walaupun beliau memiliki pengalaman sebagai bekas rektor UIAM dan pensyarah yang hebat.

Iklan

"Saya harap pemergian beliau ini mendapat rahmat dan barakah daripada ALLAH SWT. Semoga jiwa-jiwa seperti Allahyarham dapat dilahirkan dan berharap pejuang-pejuang rasuah tidak hilang semangat,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut merakamkan takziah atas pemergian Allahyarham.

"Beliau juga banyak meninggalkan mutiara-mutiara ilmu yang perlu dihadam dan dikembangkan oleh ribuan anak murid di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, ALLAH SWT mencabut ilmu dengan mematikan alim ulama.

"Sebagai seorang sahabat, saya mengenali beliau sebagai seorang yang alim, tawaduk dan tidak lokek berkongsi ilmu di mana sahaja beliau berada.

"Semoga ALLAH SWT merahmati pemergian beliau dan kita harapkan pemergian beliau terus dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Antara pemimpin lain yang turut bersama-sama sewaktu lambaian terakhir Mohd Kamal adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dzulkefly, pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan mutiara yang sangat istimewa.

"Saya sangat sedih kerana beliau pulang ke negara abadi ketika suasana negara masih lagi memerlukan bimbingan dan ilmu.

"Namun ilmu yang dicurahkannya itu sentiasa ada berpanjangan bersama kami kerana penulisan dan karya beliau tetap bersama,” jelasnya.

Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang pada jam 2.30 pagi Khamis.

Allahyarham selamat dikebumikan sekitar jam 11:40 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Bangi.

Jenazah Allahyarham dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi.