BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu van ditahan selepas cuba melanggar anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melakukan operasi kuas di Jalan Perusahaan Perai, di sini pada Khamis.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, anggota penguat kuasa terbabit sedang menjalankan pemeriksaan Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di kawasan berkenaan.
Menurutnya, lelaki berusia 40-an itu memberi alasan mahu ke tandas menyebabkan dia memandu laju tanpa mematuhi arahan anggota penguat kuasa untuk memberhentikan kenderaannya.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati pemandu terbabit baru mengambil lapan orang tukang cuci dari kilang berhampiran untuk dihantar ke asrama pekerja.
"Pemeriksaan juga mendapati dia menggunakan van persendirian yang didaftarkan atas individu lain untuk membawa pekerja pembersihan itu selain dia tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV),” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Adenan berkata, pemandu van terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalah gunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam.
Sementara itu, Adenan berkata, sebanyak 132 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa dalam operasi tersebut sebelum 17 bas kilang disita atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan termasuk pemandu bas tidak memiliki lesen PSV, cukai jalan serta permit tamat tempoh kenderaan.
"Kesalahan yang dilakukan mereka ini mengundang risiko kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
"Rata-rata pemandu berkenaan dikesan melakukan kesalahan ini berulang kali namun ia dipandang enteng oleh pihak majikan termasuk terus menggajikan mereka bagi pekerjaan yang sama,” katanya.