Liga Super 2023 saingan penuh debaran

Iklan
Kapten JDT, Jordi Amat (dua dari kiri) dan Kapten TFC, Sharul Nizam Roshasni (dua dari kanan) bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah sempena perlawanan Sumbangsih 2023 selepas sidang media di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis. - Foto Bernama

BAHANG Liga Malaysia (Liga-M) yang dinanti-nantikan peminat semakin terasa menjelang aksi pembuka tirai saingan 2023 iaitu perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Perlawanan Sumbangsih musim ini menjanjikan pertembungan lebih menarik dan penuh debaran apabila dikira sebagai aksi sulung Liga Super sekali gus JDT dan TFC masing-masing berpeluang membawa pulang gelaran dan tiga mata pertama untuk memulakan kempen dengan cemerlang.

Iklan
Iklan

JDT selaku juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dan TFC yang muncul naib juara edisi lepas, merupakan antara 14 pasukan yang akan menempuh cabaran hebat dalam laluan bergelar juara kancah utama bola sepak domestik.

Selain Harimau Selatan dan skuad Penyu, 12 kelab lain yang semestinya menyemarakkan lagi saingan ialah Selangor, Kedah Darul Aman (KDA), Sabah, Kuala Lumpur (KL) City, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Penang, Kelantan, PDRM, Kuching City dan Kelantan United.

Iklan

Adakah JDT bakal mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut?.

Mampukah anak buah jurulatih kelahiran Argentina, Esteban Solari yang diperkuat muka baharu antaranya penjaga gol kebangsaan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Endrick Dos Santos, bekas penyerang skuad JDT 2019-2020 Diogo Luís Santo, Juan Muniz dan Oscar Arribas mengekalkan kejuaraan?.

Dua persoalan itu berlegar-legar di fikiran setiap peminat, namun apabila dilabel sebagai pasukan pilihan, faktor tekanan antara yang perlu diberi perhatian bagi mengekalkan kejayaan sambil terdapat beberapa pasukan dilihat berpotensi merampas mahkota kejuaraan.

Iklan

Sebagai contoh, TFC yang dibimbing pengendali baharu dari Crotia, Tomislav Steinbruckner boleh dikatakan menikmati pramusim yang baik, merakam dua kemenangan masing-masing ke atas Bangkok FC dan Chonburi FC, satu seri menentang Rajpracha FC dan tewas sekali kepada Odense Boldklub FC.

Kehadiran beberapa nama popular seperti penyerang prolifik Thailand, Adisak Kraisorn dan pemain naturalisasi Liridon Krasniqi menambah kekuatan di bahagian jentera serangan TFC, menandakan pasukan mahu mencapai lebih kemajuan setelah era Mohd Nafuzi Zain.

Sabah yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan di bawah bimbingan bekas Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee juga antara pasukan yang perlu diberi perhatian selepas merakam tiga kemenangan besar dalam persiapan pramusim di Kota Kinabalu.

Sang Badak menewaskan kelab Singapura Geylang International, Melaka dan satu lagi pasukan dari seberang tambak, Tampines Rovers sekali gus memberi petanda Kim Swee bersedia mencabar kejuaraan untuk menambah koleksi pencapaian sejak menjuarai Liga Premier 2009 bersama Harimau Muda.

Meskipun mengharungi aksi pramusim yang kurang memberangsangkan, Selangor, KL City, KDA dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada semua lawannya, selain menjadi antara pasukan pilihan mengisi kedudukan tiga teratas di akhir musim.

Tidak dilupakan, antara pasukan yang berupaya mencipta kejutan ialah Sri Pahang, Negeri Sembilan, Penang dan Kelantan manakala pasukan yang dianggap sebagai ‘giant killer’ ialah PDRM, Kuching City dan Kelantan United.

Pada masa sama, Liga Super 2023 dilihat sebagai persada utama lahirnya pemain-pemain baharu yang berkualiti apabila kesemuanya ingin membuktikan kemampuan demi merebut tempat dalam skuad kebangsaan untuk beraksi di Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung pada Januari 2024 di Qatar.

Secara keseluruhan, Liga-M 2023 menyaksikan enam trofi kejuaraan menjadi rebutan bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) khusus untuk saingan Liga Simpanan.

Penstrukturan baharu Liga Malaysia bermula tahun ini menyaksikan pertandingan Liga Simpanan yang dikenali sebagai Piala MFL diadakan buat kali pertama manakala MFL Challenge Cup dipertandingkan semula selepas tiga tahun sejak dianjurkan pada 2018.

Perubahan paling menarik perhatian ialah jadual Liga Super menjadi lebih panjang apabila bermula esok sehingga 17 Dis melibatkan keseluruhan 182 perlawanan selepas terdapat penambahan 50 aksi berbanding musim lepas susulan peningkatan jumlah pasukan bertanding daripada 12 ke 14 musim ini.

Selain itu, Piala Malaysia yang akan berlangsung dalam tempoh saingan Liga Super merupakan perubahan penting dibuat MFL, sekali gus menyaksikan kejohanan berprestij itu tidak lagi menjadi kemuncak Liga-M pada akhir musim.

Pemerhati dan penganalisis bola sepak tempatan berpendapat dengan promosi yang telah dilakukan serta penglibatan dua stesen televisyen terkenal, ia dijangka mampu meletakkan kemeriahan Liga-M di tahap tertinggi menerusi liputan perlawanan yang menyeluruh. - Bernama