'Kita masih guna method, polisi lama di MotoGP'

Iklan
Gambar hiasan

KERAJAAN menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap menyediakan pelan pembangunan permotoran komprehensif terutamanya dalam melahirkan pelumba Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) negara bagi memacu industri sukan tersebut ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

Malah tegas pelumba legenda motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, berdasarkan pengalamannya negara tidak ketandusan bakat pelapis dalam sukan tersebut setiap tahun.

Iklan
Iklan

Namun katanya, KBS dibawa kepimpinan baharu menteri Hannah Yeoh dilihat perlu lebih proaktif menjadikannya satu antara agenda nasional sukan.

"Sejujurnya KBS perlu menyediakan pelan pembangunan sukan bermotor yang lebih

Iklan

komprehensif bagi mengubah perspektif masyarakat terhadap sukan tersebut.

"Ini secara tidak langsung seterusnya membentuk budaya sukan yang lebih bermanfaat kepada peminat dan penggemar dua roda.

Iklan

"Sekiranya diwujudkan pelan pembangunan khas ini, ia menjadikan kecenderungan dan minat penggemar aktiviti bermotosikal lebih menghargai dan memahami bagaimana sukan ini mampu menjadikan semua aktiviti berkaitan lebih perkasa di peringkat akar umbi hingga ke antarabangsa,” katanya ketika ditanya harapan terhadap Belanjawan 2023 kepada Sukan Sinar pada Khamis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Pada masa sama Wazi menegaskan pentas Cub Prix masih sebagai asas penting melahirkan pelumba berkualiti negara pada masa depan khasnya untuk MotoGP.

"Sejujurnya pada saya Cub Prix masih relevan sebagai asas untuk melahirkan pelumba yang berpotensi ke saingan kejuaraan MotoGP pada masa depan.

"Bakat-bakat dari Malaysia pernah mencatat sejarah tersendiri apabila bersaing di MotoGP seperti Khairul Idham Pawi, Hafiz Syahrin, Syarifuddin Azman dan lain-lain.

"Namun begitu kerajaan khasnya KBS perlu mewujudkan perancangan yang lebih baik bagi memastikan bakat-bakat pelapis ini tidak tersekat di pertengahan jalan.

"Bakat-bakat pelapis ini memerlukan sokongan tidak hanya dalam aspek motivasi tetapi juga arah tuju untuk mencipta lebih kejayaan dalam bidang ini yang kemudian menjadi contoh kepada bakal pelumba lain,” katanya.

Mengulas punca Malaysia masih bergelut untuk melahirkan pelumba yang mampu berdaya saing di perlumbaan MotoGP dalam pelbagai kategori Wazi berkata,"Dulu motto kita dalam Cub Prix ialah melahirkan juara masa depan.

"Namun apabila kita memasuki pentas MotoGP, kita masih mengekalkan method dan polisi perlumbaan serta pembangunan yang sama.

"Ini menyebabkan kita agak ketinggalan dari sudut penyediaan pelumba, peluang membangunkan teknologi perlumbaan, menyediakan rangkaian penajaan yang melihat ke arah pemasaran global serta banyak lagi.”