MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) mengharapkan agar Belanjawan 2023 untuk sukan orang kurang upaya (OKU) dapat dinaikkan daripada RM12 juta kepada RM18 juta.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, pertambahan belanjawan itu relevan berdasarkan pencapaian gemilang warga sukan OKU di pentas antarabangsa.
"Sukan yang menyerlah, menaikkan nama negara dan mencapai keputusan yang baik adalah sukan paralimpik.
"Harapan saya untuk warga sukan OKU dan paralimpik adalah permohonan kepada Perdana Menteri untuk menambahkan bajet kerana tahun lalu, bajet yang diumumkan sebelum pilihan raya adalah RM12 juta.
"Kalau boleh saya nak mohon Perdana Menteri tambah bajet tersebut kepada RM18 juta,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Menurutnya, atlet para negara tidak seharusnya dianaktirikan berbanding atlet sukan lain di negara ini.
Beliau berkata, sukan OKU di Malaysia memerlukan peruntukan yang banyak dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa.
"Sebab itu, pemberian dana ini perlu diberikan secara merit. Siapa menyerlah, dia sepatutnya dapat lebih dana.
"Contohnya, di Sukan Para Asean (APG) ke-11 di Indonesia, kita dapat 36 emas dan di Paralimpik Tokyo kita dapat tiga emas.
"Sukan paralimpik negara sentiasa mengharumkan nama negara dan membanggakan rakyat,” katanya.