BATU PAHAT - Anak sulung kepada jemaah umrah yang hilang pada Disember tahun lalu, masih berharap kepulangan ayahnya meskipun usaha pencarian di Tanah Suci tidak berjaya.
Muhammad Nabil, 26, dan adiknya Muaz, 17, berangkat ke Makkah pada 20 Januari lalu untuk mencari ayah Musthafa Kamal Abdullah, 49, dan pulang ke tanah air pada 1 Februari lalu.
Bercerita tentang pencarian ayahnya itu, Muhammad Nabil menjelaskan selama dua minggu berada di Tanah Suci, usaha pencarian turut dibantu rakyat Malaysia yang menetap di sana, pihak agensi umrah dan edaran poster.
"Macam-macam tempat kami sudah pergi di Makkah, memang tidak berhenti cari ayah selepas jejakkan kaki di sana. Saya turut edarkan poster wajah ayah untuk orang ramai membantu mencari ayah.
"Namun, hanya beberapa berita mengenai ayah yang dikatakan berada di satu-satu tempat di sana namun tidak membuahkan hasil," katanya ketika ditemui di kediamannya di Sri Gading dekat sini pada Jumaat.
Muhammad Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat memberitahu, gerak hatinya percaya ayahnya masih hidup dan menyerahkan semuanya kepada ALLAH SWT.
"Kami lima beradik rindukan ayah terutama adik bongsu Umar, 12, yang mengalami masalah pembelajaran.
"Begitu juga dengan ibu, Zurina Muhammad@ Shamsudin, 49, yang bekerja sebagai Pegawai Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) tidak pernah berhenti berdoa," katanya.
"Setakat ini, saya dan keluarga tiada perancangan untuk ke Makkah untuk mencari ayah dalam masa terdekat.
"Kami mengharapkan sekiranya ada sesiapa yang menemui ayah di sana dapat membawanya pulang ke Malaysia dengan apa cara sekalipun," katanya.
Sementara itu, Mohammad Nabil turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak henti-henti berdoa agar ayahnya selamat ditemui.
"Sejak berita kehilangan ayah dipaparkan media, saya tidak henti-henti menerima pesanan WhatsApp mendoakan kami sekeluarga tabah atas ujian ini.
"Saya cukup terharu dengan sokongan diberikan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan agar ayah ditemui dengan selamat di Makkah," katanya.
Pada 6 Disember tahun lalu, Musthafa yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.
Bagaimanapun, bapa kepada lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.
Satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi berhubung kehilangan Musthafa.