Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

Iklan
Foto hiasan

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara.

Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap 'take-off' atau lonjakan.

Iklan
Iklan

Lonjakan ini adalah titik peralihan. Tahap ini merupakan detik bermulanya pertumbuhan ekonomi sesebuah negara di mana proses urbanisasi diperluaskan manakala perindustrian ditingkatkan dan teknologi baharu muncul.

Kali pertama Malaysia melalui tahap lonjakan ini ialah ketika era pertumbuhan pesat ekonomi negara di antara 1988 dan 1997, yang mana sebahagian besarnya dijayakan sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.

Iklan

Dalam zaman kegemilangan itu, pelaburan asing membanjiri rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Ini mengingatkan saya mengenai satu kisah benar tentang seorang usahawan Malaysia dari Kluang,Johor yang menamatkan pengajiannya di Taiwan pada 1988 telah ditawarkan kerja oleh syarikat Taiwan untuk membina sebuah kilang di China.

Iklan

Namun, peristiwa di Dataran Tiananmen pada 4 Jun 1989 telah menyebabkan dunia menjauhi China selama beberapa tahun. Usahawan Kluang ini pula kehilangan kerja dan terpaksa pulang ke kampungnya.

Namun, selepas tiga tahun sahaja berada di Johor, beliau berjaya menjadi seorang jutawan. Apa yang dilakukannya? Di Johor, dia telah membina kilang-kilang untuk syarikat-syarikat Taiwan yang melabur di negara ini.

Ini menunjukkan warga Malaysia berpeluang mengambil kesempatan dan beroleh keuntungan daripada keadaan ekonomi global.

Saya yang dalam usia remaja ketika itu masih ingat wajah-wajah yakin rakyat Malaysia yang mahu meraih keuntungan daripada pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Ada juga guru-guru yang sanggup bersara awal untuk memulakan perniagaan sendiri atau menyertai sektor swasta yang menawarkan pendapatan lebih tinggi (walaupun hari ini keadaannya sudah terbalik).

Malah, ada kalangan rakyat kita yang sebelum ini berhijrah ke Jepun dan Taiwan pada 1970-an dan 1980-an untuk mencari nafkah telah kembali ke tanah air kerana mahu bekerja dengan gaji yang lebih baik di tanah air sendiri.

Era yang penuh dengan keyakinan, optimisme dan semangat perpaduan nasional serta bermatlamat itu menjadi kenangan zaman kegemilangan kita. Ketika itu, Malaysia berani melihat ke hadapan, berdiri tegak sebagai wira Dunia Ketiga.

Malah, Malaysia dikenali dunia sebagai pelabur global, menjelajah jauh hingga ke benua Afrika, dan sebagai pejuang keamanan yang menjalankan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pasukan pengaman, termasuk sewaktu peperangan di Yugoslavia pada dekad 1990-an.

Namun, malang tidak berbau. Krisis Kewangan Asia melanda Malaysia dan rantau ini pada 1997.

Krisis ekonomi tersebut turut mencetuskan kemelut politik di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk kejatuhan pemerintahan diktator Suharto di Indonesia, dan pemecatan serta pemenjaraan Anwar Ibrahim di Malaysia.

Kesan daripada krisis ekonomi dan kewangan tersebut serta penyertaan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001 sebagai pesaing sektor pembuatan yang menawarkan harga murah telah melemahkan prestasi ekonomi Malaysia dan negara-negara rantau ini selama dua dekad berturut-turut.

Sehingga hari ini Malaysia masih terikat dengan model ekonomi lama, iaitu membayar gaji rendah serta mengekalkan tenaga buruh kurang mahir. Masyarakat kita seolah-olah terkurung minda, hidup seperti di bawah tempurung, sikap suka berkira, dan ada kalanya hilang semangat terus.

Era baharu

Dinamika serantau telah berubah akibat kesan pandemik Covid-19, persaingan di antara Amerika Syarikat dan China, krisis iklim, perang di Ukraine, dan inflasi paling teruk sejak 1970-an.

Era daripada runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 kepada bermulanya pencerobohan Rusia terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022 dianggap oleh sesetengah orang sebagai zaman polos kerana ada pihak merasakan bahawa perang, konflik dan permusuhan geopolitik sudah tiada lagi.

Kini kita memasuki era persaingan geopolitik yang mungkin berterusan selama satu atau dua dekad lagi. Apabila kita dapat memahami keadaan ini, ia akan membolehkan kita melihat dunia dengan lebih jelas.

Asia Tenggara kini menjadi tumpuan dunia. Syarikat-syarikat AS dan Eropah yang tidak mahu terlalu terikat dengan pelaburan di China sahaja, atau yang mahu keluar terus dari China, melihat Asia Tenggara sebagai destinasi alternatif mereka.

Syarikat-syarikat China pula sedang meneroka rantau ini sebagai persediaan untuk bahan eksport mereka ke AS dan Eropah.

Inilah peluang Malaysia bagi lonjakan kedua, iaitu meninggalkan model ekonomi gaji rendah dengan tenaga buruh tidak mahir untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan ekonomi yang dinamik dan bertenaga.

Idea-idea dalam Aspirasi Pelaburan Nasional, khususnya mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan hubungan industri domestik, membangunkan kluster industri, mewujudkan ekonomi yang menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, dan meningkatkan inklusiviti, dengan menjadikan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) sebagai tema utama, dapat menjadi panduan kita.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia mempunyai saranan nilai unik atau unique value proposition yang dapat menonjolkan ciri-ciri khas kekuatan ekonomi negara sebagai daya tarikan.

Malaysia tidak perlu bersaing dengan Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina. Setiap negara tersebut mempunyai populasi hampir atau lebih daripada 100 juta orang, dan kebanyakannya golongan muda.

Mereka mempunyai kelebihan demografik berbanding Malaysia.

Sebaliknya Malaysia mempunyai kelebihan lain seperti kedudukan geografinya di tengah-tengah laluan perdagangan paling sibuk di dunia, infrastruktur berkualiti, tenaga kerja pelbagai bahasa, kelayakan adakemik yang tinggi, dan sistem perundangan yang agak baik.

Dari sudut ekonomi, lebih sesuai jika kita membandingkan Malaysia dengan Singapura, atau lebih tepat lagi Malaysia dalam keadaan dua pertiga daripada Singapura.

Kita akui ekonomi Singapura memang lebih dinamik dan canggih, tetapi harga yang perlu dibayar untuk mencapai tahap itu adalah terlalu tinggi.

Jika seorang pelabur sanggup membayar dua pertiga gaji yang dibayar di Singapura dan menerima hakikat bahawa Malaysia kekurangan satu pertiga kecekapan Singapura, pelabur itu akan mendapati Malaysia merupakan sebuah destinasi pelaburan yang baik dan tepat sekali untuknya.

Sebagai Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan ADUN Perling, saya tahu, malah telah banyak kali melihat sendiri, mulai jam 4 pagi setiap hari, kira-kira 50,000 warga Malaysia di kawasan saya bermotosikal ke Singapura untuk bekerja.

Mereka ke sana untuk menjadi"pekerja asing” dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan dibayar gaji SGD2,000 sebulan.

Sebenarnya, ramai antara mereka sedia kembali bekerja di Malaysia jika dibayar dua pertiga daripada gaji Singapura. Malangnya, setakat ini, tawaran yang mereka dapat di Malaysia hanyalah satu pertiga daripada gaji Singapura.

Kerana itulah setiap kali apabila ada orang datang ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memberitahu bahawa Malaysia tidak mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi, saya akan mengatakan,"maaf, itu tanggapan yang salah”.

Sebenarnya, Malaysia mempunyai cukup bakat yang diperlukan oleh industri negara kita. Masalahnya, kebanyakan mereka bekerja di Singapura.

Untuk negara kita mencapai lonjakan buat kali kedua, kita perlu memahami hakikat ini: sebenarnya pasaran pekerja Malaysia dan Singapura berkait rapat. Ia merupakan satu jalinan.

Jadi, adakah kita perlu bersaing dengan Singapura? Tidak juga. Dalam suasana geopolitik sekarang ini, Malaysia dan Singapura bukanlah musuh atau persaing.

Kedua-duanya adalah rakan kongsi yang saling membantu antara satu sama lain untuk berhadapan dengan dunia yang semakin kompleks dan bermasalah.

Di Singapura, segala-galanya menjadi semakin mahal. Kos sewa serta banyak kos lain meningkat mendadak sejak tiga tahun lalu apabila semakin banyak syarikat-syarikat Barat memindahkan ibu pejabat serantau mereka dari Hong Kong ke Singapura.

Di samping itu, semakin ramai jutawan China memindahkan kekayaan mereka ke Singapura.

Dengan itu, jika pelabur memindahkan industri dan perkhidmatan mereka ke Malaysia, dan sanggup membayar gaji yang lebih baik untuk pekerja Malaysia (walaupun hanya dua pertiga daripada yang dibayar di Singapura), ia akan menguntungkan kedua-dua negara.

Mewujudkan kelas menengah Malaysia

Misi utama kita dalam era lonjakan kedua Malaysia ialah membina sebuah masyarat kelas menengah.

Antara masalah utama di Malaysia ialah gaji yang rendah. Gaji median bulanan untuk warga Malaysia pada 2021 adalah RM2,250. Gaji median bukanlah gaji purata. Ini bererti 50% daripada 9.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja dibayar kurang daripada RM2,250 sebulan.

Struktur ekonomi Malaysia berbentuk piramid, iaitu puncaknya kecil manakala bawahnya besar. Yang besar itu mencerminkan majoriti rakyat yang berpendapatan rendah.

Hanya 15% warganegara layak membayar cukai pendapatan di Malaysia. Sekilas pandang, seolah-olah tidak ramai rakyat perlu membayar cukai. Ini tanggapan yang salah.

Sebenarnya, ia bermakna hanya 15% penduduk Malaysia mampu membayar cukai pendapatan – apabila pendapatan minimum yang boleh dikenakan cukai adalah RM2,833 sebulan (selepas potongan wajib).

Secara am, cukai hanya dikenakan terhadap pendapatan bulanan di antara RM3,400 dan RM3,500. Ini juga bermakna tidak ramai warga Malaysia memperolehi pendapatan bulanan sebanyak ini.

Ia turut mencerminkan bahawa label B40 dan M40 untuk rakyat Malaysia tidak banyak memberi makna. Yang jelas, ramai rakyat Malaysia tidak menikmati kualiti hidup yang sepatutnya.

Atas sebab inilah kita perlu mensasarkan usaha membina masyarakat kelas menengah di mana mereka yang berpendapatan pada tahap pertengahan menjadi kumpulan yang terbesar.

Kita perlu berani membayangkan masa hadapan di mana 60 peratus warga Malaysia akan mampu menjana pendapatan bulanan yang membolehkan mereka membayar cukai pendapatan.

Dengan itu, struktur ekonomi masyarakat kita dapat diubah daripada bentuk piramid kepada bentuk permata yang bujur dan kembang besar di tengahnya.

Kita perlu berani membayangkan bahawa dalam masa lima tahun lagi, sekitar 50-60 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Malaysia akan menerima gaji lebih daripada RM4,000 sebulan, iaitu dua pertiga daripada gaji Singapura untuk pekerja kurang mahir di negara itu.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu memikirkan semula dasar-dasar pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan pelaburan.

Pekerjaan yang berkualiti dengan gaji yang setimpal untuk warga Malaysia bekerja di Malaysia perlu menjadi tema utama dalam sebarang perbincangan serta perdebatan ekonomi di negara kita.

Kewujudan masyarakat kelas menengah perlu menjadi asas Malaysia Madani.

Satu dekad dari sekarang, jika dipandang balik, kita yakin generasi pada masa itu tahu bahawa taraf hidup serta kualiti kehidupan yang mereka nikmati pada 2033 bermula dengan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan sejak 2023.

Untuk mencapai matlamat ini, usaha perlu dimulakan sekarang.

* Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.