Bayi dua bulan maut dipercayai dihempap abang

Iklan
Seorang bayi perempuan maut selepas dipercayai terhempap oleh abangnya ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Bidara Setia, Alor Gajah, semalam. - Gambar hiasan

ALOR GAJAH - Seorang bayi perempuan maut selepas dipercayai terhempap oleh abangnya ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Bidara Setia, di sini pada Khamis.

Mangsa, Maryam Sofea Meor Syazalee yang berusia dua bulan disedari tidak sedarkan diri oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Meor Syazalee Sha @ Meor Sha, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri serta satu-satunya anak perempuan mereka sedang tidur di bilik tidur utama rumah manakala tiga lagi anaknya berusia 9, 6, dan 5 tahun tidur di bilik berasingan.

"Apabila kami terjaga dari tidur, kami mendapati salah seorang anak lelaki yang berusia lima tahun sudah berada dan sedang tidur di sebelah adiknya.

Iklan

"Tidak lama selepas itu, kami dapati anak perempuan kami tidak bergerak seperti biasa dan kami terus bergegas membawanya ke hospital sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, dia yang juga pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Masjid Tanah berkata, meskipun masih terkejut, namun mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu.

Iklan

Ujarnya, dia berharap orang ramai tidak melemparkan sebarang komen negatif yang memberikan kesan emosi kepada mereka sekeluarga.

"Apa yang saya harap adalah supaya orang ramai tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen negatif yang boleh mengguris emosi kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan sehingga hasil laporan bedah siasat dikeluarkan. - Awani