KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 186 notis saman terhadap pemandu warga asing serta pemilik kenderaan melalui Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) malam Khamis.
Dalam operasi sama, JPJ turut menyita 83 kenderaan yang dipandu warga asing terutama etnik Rohingya termasuk tiga buah lori, 11 buah motosikal roda tiga dan 69 buah motosikal.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, warga asing berkenaan dikesan melakukan kesalahan tiada lesen memandu, memandu kenderaan yang tamat tempoh lesen dan tiada perlindungan insurans.
"Pemilik kenderaan terbabit bakal berdepan tindakan mahkamah iaitu boleh didakwa di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Mohd Misuari memberitahu, operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan itu turut menahan seorang warga Pakistan dan lima etnik Rohingya atas kesalahan tidak mengemukakan dokumen perjalanan sah.
"Kesemua warga asing itu berusia antara 17 hingga 60 tahun dan bekerja dalam sektor pembinaan serta pengutip besi," katanya.
Beliau turut memberitahu, tindakan pemilik kenderaan yang mengaut keuntungan hasil memberi sewa kenderaan mereka kepada warga asing boleh merugikan kerajaan.
"Banyak perkara sukar juga akan dihadapi penyewa jika kenderaan mereka terlibat kemalangan termasuk sukar melakukan tuntutan insurans selain mengundang bahaya kepada pemandu lain," katanya.
Jelasnya, warga asing mungkin akan menjadi mangsa penipuan pemilik kenderaan kerana ada di antara mereka yang dilaporkan terpaksa berdepan potongan gaji.
Secara keseluruhan JPJ Kelantan mengeluarkan 1,350 notis saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 120 kenderaan terhadap pemandu warga asing bermula awal 2021 hingga Februari 2023.