JAKARTA - INDONESIA . Misteri ‘kehilangan’ calon timbalan presiden, Sandiaga Uno yang merupakan pasangan regu kepada Prabowo Subianto dalam Pemilihan Umum Presiden Indonesia 2019 (Pilpres) akhirnya terjawab.
Menerusi Twitter, Sandi yang mendapat jolokan bintang Pilpres mengesahkan beliau mengalami masalah kesihatan akibat terlampau kuat bekerja ketika berkempen selama lapan bulan tanpa mendapatkan rehat mencukupi.
"Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang selalu mendoakan dan menyokong saya. Jangan mengalah, kita akan terus berjuang untuk keadilan,” katanya.
Penjelasan Sandi itu, sekali gus menjawab spekulasi banyak pihak tentang ‘kehilangannya’ di sisi Prabowo selepas proses pengundian ditutup pada Rabu lalu.
Terdapat juga khabar angin tersebar yang mendakwa berlaku perselisihan antara Sandi dan Prabowo susulan keputusan kiraan cepat yang berpihak kepada pesaing mereka Joko Widodo atau Jokowi dan Ma’ruf Amin.
Parti pakatan yang menyokong Probowo-Sandi cuba menafikan spekulasi tersebut dan hanya menjelaskan Sandi ‘hilang’ kerana keletihan melampau akibat kempen pilihan raya yang panjang.
Jumaat lalu, Prabowo turut dilihat menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Azhar berhampiran Jakarta Selatan ketika menghadiri perhimpunan mega bersama para penyokong mereka tanpa Sandi di sisi beliau.
Sandi bagaimanapun menjelaskan beliau dinasihatkan oleh doktor untuk berehat di rumah.
Jutawan berusia 49 tahun itu menjadi tarikan golongan wanita dalam Pemilihan Umum (Pemilu) pada kali ini selepas bekas jeneral berusia 67 tahun itu mengumumkan beliau sebagai pasangan regunya pada Ogos lalu. - Agensi