KLANG - Kerajaan negeri diminta campur tangan berhubung isu pengambilan tanah bagi pembinaan projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan laluan di Jalan Kebun Batu Empat, Klang dan sekitarnya.
Wakil Jawatankuasa Bertindak Pengambilan Tanah Penduduk, Vijaya Gomaran Mariappan, 61, berkata, ini kerana pampasan pengosongan unit disifatkan tidak setimpal apabila pihak terbabit mahu membayar nilai pampasan tanah sahaja.
Menurutnya, keputusan itu seperti satu pengkhianatan kepada mereka memandangkan jumlah pampasan dijanjikan termasuklah nilai bangunan, kos pindahan dan kos kehilangan pendapatan yang telah dimuktamadkan pada tahun 2017.
"Pampasan tanah, bangunan, kos pindahan, kos kehilangan pendapatan telah dimuktamatkan pada tahun itu dan Borang H (Pemberitahu Pemberian dan Tawaran Pampasan) telah dikeluarkan pada bulan September 2017.
"Kami yang tidak menerima sebarang pampasan sehingga 2021 kemudiannya dimaklumkan Borang H pada tahun 2017 ditarik balik dengan alasan keluasan tanah pengambilan baharu adalah berbeza dengan pengambilan lama," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau menambah, isu pengambilan tanah berkenaan membabitkan sebahagian dari lapan lot tanah seluas kira-kira empat hektar setiap lot dengan membabitkan 200 hingga 250 keluarga dengan nilai tawaran sebelum ini antara RM12 juta hingga RM15 juta setiap lot.
Bagaimanapun katanya, penduduk kecewa apabila pihak terbabit hanya mahu membayar nilai pampasan tanah sahaja iaitu dengan nilai sebanyak 25 peratus daripada pampasan yang telah dimuktamadkan antara kedua-dua belah pihak sebelum ini.
"Ini membuatkan kami musykil mereka seolah-olah bersubahat untuk menarik balik nilai pampasan sebelum ini dan tiada mana-mana pihak membantah walaupun setiap pihak diberi masa 42 hari untuk membuat bantahan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tiga memorandum dihantar iaitu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr G Gunarajah dan Pejabat Parlimen Kota Raja termasuk kepada pihak kerajaan negeri Selangor untuk perhatian.
"Kami amat-amat berharap agar Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dapat campur tangan dan membela pengkhianatan terhadap kami ini agar penduduk mendapat keadilan yang sewajarnya dan pampasan setimpal dengan kerugian," katanya.
Pada 14 Februari lalu penduduk terbabit turut membuat bantahan dan turun ke jalan raya di Jalan Sungai Jeti kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diberikan kepada mereka sebelum memorandum tersebut dihantar.