Kerajaan iltizam noktahkan miskin tegar - Anwar

Iklan
Anwar bersama dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan iltizam kerajaan untuk menjadikan tahun 2023 sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Iklan
Iklan

"Kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh.

"Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beberapa pendekatan baharu juga akan dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan inisiatif lalu seterusnya meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar dalam menjana pendapatan.

Iklan

"Antaranya bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.

"Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agro pertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.

"Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi,” ujarnya.