Urus hutang dengan baik, guna secara produktif - Pakar Ekonomi

Iklan
Gambar dari kiri: Rais Hussin, Dr Rajah Rasiah, Dr Ahmed Razman
KUALA LUMPUR - Negara berhutang bukan satu masalah tetapi ia harus diurus dengan baik dengan menggunakan hutang tersebut secara produktif, umpamanya membuat pelaburan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Beliau berkata, pengurusan hutang adalah penting dan melihat kepada 'tightening of budget', kerajaan harus fokus kepada apa yang rakyat perlu dan mahukan.

"Banyak negara yang mempunyai defisit besar dan kecil seperti Jepun dan Singapura. Mereka mempunyai hutang yang besar tetapi hutang yang diambil digunakan untuk tujuan produktif yang membawa pulangan berlipat ganda,” katanya dalam temu bual khas bertajuk 'Belanjawan 2023 Malaysia MADANI' pada Jumaat.

Beliau berkata, rata-rata kajian EMIR Research telah menunjukkan lebih 95 peratus daripada rakyat memerlukan kos sara hidup yang lebih baik, pekerjaan, usaha mendepani masalah krisis kesihatan dan perumahan.

"Lebih 600,000 tidak mempunyai pekerjaan dan 1.2 juta belia menganggur. Ini adalah masalah besar,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Datuk Profesor Ulung Dr Rajah Rasiah berkata, pelaksanaan subsidi bersasar ini akan mengambil masa dan berpendapat Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengambil kira segalanya (susbsidi) kerana tempohnya terlalu singkat.

"Daripada tujuh perkara yang ditekankan oleh Perdana Menteri, hanya dua perkara yang saya lihat penting dan ia adalah kebimbangan hutang yang lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain cenderung kepada masalah golongan miskin tegar. Ini dijadikan sasaran.

"Golongan miskin ini disasarkan untuk dibantu, seperti usaha Menu Rahmah. Ia bukan sekadar slogan, ia lebih daripada itu kerana Perdana Menteri berharap keluarga miskin tidak hidup berlapar dan sekurang-kurangnya masalah ini diatasi,” katanya.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, data terperinci adalah penting dan diperlukan untuk membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi bersasar dengan tepat.

"Belanjawan 2023 mungkin ada subsidi bersasar untuk barangan tertentu tetapi mungkin tidak dilaksanakan serta-merta sebab kalau kita ada data subsidi bersasar, ia dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berimpak.

"Saya lihat bukan sahaja kita memulakan dengan data tetapi juga infrastruktur pemantauan. Ini penting, saya tahu ia perlu masa dan saya berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, Rais Hussin berharap Belanjawan 2023 dirancang menggunakan model input, output dan impak (IOI).

"Bajet kita hanya menggunakan model input dan output, bermakna dapat sahaja bajet, kita membelanjakannya sebelum 31 Dis, kepantasan untuk berbelanja, tidak mengambil kira hasil atau impak.

"Bajet perlu dirancang dari mula, menggunakan model IOI dan selepas itu, kita pantau, jangan cepat-cepat nak belanja duit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga boleh mempertimbangkan atau memikirkan semula keperluan untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan projek 5G Digital Nasional Bhd (DNB).

"Kos MRT3 adalah kira-kira RM50 bilion, perlukah kita buat MRT3 sekarang? Projek 5G DNB ini, bolehkah kita fikirkan semula bagaimana untuk mengurangkan kos dan mengurangkan kos kepada pengguna.

"Ini adalah perkara yang perlu kita fikirkan di luar kotak. Pentadbiran Anwar Ibrahim masih belum mencapai 100 hari. Ia akan mencabar, kita tidak boleh mengharapkan perbezaan secara radikal tetapi kita perlu menangani ketirisan itu,” katanya.

Beliau berkata 24 tahun yang lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menyatakan bahawa Malaysia kehilangan RM3 trilion disebabkan ketirisan dan rasuah.

"Melihat kepada hutang negara yang ditanggung kerajaan hari ini, bayangkan jika kita ada RM3 trilion itu. Ketelusan radikal adalah penting dan tadbir urus yang baik adalah kritikal,” katanya. - Bernama