Pemaju gesa tangani harga tinggi bahan bangunan

Iklan
Gambar hiasan

LANGKAH kerajaan untuk meningkatkan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga RM5 bilion akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli rumah, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Presidennya, Datuk NK Tong berkata, langkah tersebut akan memanfaatkan 20,000 peminjam yang tidak berpendapatan tetap.

Iklan
Iklan

"Pendekatan yang diambil kerajaan mungkin kelihatan berani dan agresif, namun, pada hakikatnya adalah berhemat berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan global yang lebih perlahan pada 2023,” katanya dalam kenyataan sempena pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Objektif SJKP ialah menawarkan jaminan bagi pihak kerajaan kepada bank-bank yang mengambil bahagian dengan menawarkan pembiayaan perumahan kepada golongan berpendapatan tidak tetap tetapi berkelayakan seperti petani dan peniaga kecil untuk membeli rumah.

Iklan

Malah, Rehda turut menyokong usaha kerajaan untuk membina 12,400 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 4,250 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), masing-masing dengan peruntukan bernilai RM367 juta dan RM358 juta.

"Bagaimanapun, kami masih bimbang mengenai isu-isu mendesak yang diketengahkan dalam memorandum kami untuk Belanjawan 2023 seperti peningkatan berterusan harga bahan bangunan yang tidak ditangani.

Iklan

"Kami menegaskan bahawa sekiranya isu ini dibiarkan terlalu lama, ia akan memberikan impak buruk terhadap harga rumah di pasaran terbuka,” kata Tong.

Sementara itu, pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd berkata, langkah kerajaan untuk meneruskan pengecualian duti setem bagi rumah pertama akan membantu pembeli untuk lebih berjimat.

Pengecualian sepenuhnya duti setem diberikan kepada hartanah bernilai RM500,000 ke bawah dan 75 peratus untuk rumah bernilai lebih RM500,001 hingga RM1 juta.

"Sebagai contoh, pengecualian 75 peratus ke atas pembelian hartanah bernilai RM750,000 akan menjimatkan pembeli sehingga RM15,000.

"Ini akan menarik minat pembeli rumah kali pertama yang berpendapatan sederhana hingga tinggi serta mereka yang berhasrat meningkatkan hartanah,” menurut Pengarah Urusan kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum. - Bernama