KUALA TERENGGANU - Kehadiran bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi memberi sinar kegembiraan dan limpahan rezeki buat seorang tukang jahit berstatus orang kurang upaya (OKU), Mohd Alamin Jais, 51.
Ini kerana pendapatannya boleh mencecah sehingga RM100 sehari susulan peningkatan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat beliau khususnya dalam jahitan jean sama ada membaiki jean, mengecil, memotong atau menampal seluar.
Mohd Alamin yang dilahirkan cacat kedua-dua belah tangan dan memiliki jari tidak sempurna dari Kampung Belukar Sukai, Kepong, di sini berkata, jumlah pendapatan boleh meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa.
"Pelanggan sekarang memang kurang dan tidak ramai macam dulu. Sebulan boleh dapat sekitar RM500 saja berbanding sebelum ini, RM1,000 sebulan pun boleh dapat.
"Mujurlah saya menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bolehlah menampung apa-apa keperluan yang kurang," katanya yang mengambil upah memotong seluar jean dengan harga RM10.
Ditanya tentang penglibatannya dalam bidang jahitan walaupun mempunyai jari tidak sempurna, bapa kepada lima anak berusia tujuh hingga 19 tahun itu berkata, kemahiran tersebut diperoleh hasil berguru dengan arwah ibunya yang merupakan tukang jahit.
Jelasnya, minat mendalam terhadap dunia jahitan mendorong dirinya menambah ilmu di bengkel JKM di Pulau Kerengga, Marang pada usianya 19 tahun sebelum menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya tetap.
Mohd Alamin yang kini membuka kedai jahitan di tingkat atas hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, sudah 20 tahun berniaga di sana dan menjadi sumber pendapatan utama menyara keluarga.
"Isteri, Zuriana Mamat, 48, merupakan suri rumah yang menguruskan anak-anak di rumah jadi pendapatan kami memang 100 peratus bergantung kepada kedai ini," katanya yang tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak hidup berdikari.