KUALA PILAH - Berat ujian buat seorang isteri apabila suami yang menjadi tempat bergantung selama ini, hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya minggu lalu.
Kejadian itu berlaku ketika Zamri Jamaludin, 30, yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.
Menurut Siti Nurliyana Rosli, 23, sejak insiden berkenaan, suaminya lebih banyak termenung malah terpaksa menanggung sakit kepala berterusan setiap hari.
"Kemalangan itu menyebabkan kepalanya terhentak kuat dan berlaku pendarahan.
"Selain itu dia juga selalu mengadu sakit dada dan loya. Tapi yang saya paling kasihan tengok dia menahan sakit kepala setiap hari dan ada kalanya sehingga menangis," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Gemetir di sini pada Jumaat.
Malah kata Siti Nurliyana, keadaan suami yang dahulunya seorang yang tegas berubah seperti seorang kanak-kanak dan kerap bertanya soalan sama.
Lebih membuatkan hatinya gusar apabila doktor memaklumkan ingatan suami akan mengambil masa untuk pulih.
"Saya terputus sumber kewangan dan kini mengharapkan ihsan keluarga suami untuk membantu. Cuma sampai bila?" soalnya.
Siti Nurliyana berkata, untuk kos membeli lampin pakai buang dan susu, dia memerlukan RM200 sebulan.
Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja tetapi berhenti ketika mengandung anak bongsu disebabkan mengalami alahan teruk.
"Saya mahu bekerja, tapi dengan keadaan anak yang semuanya masih kecil ia agak susah untuk saya kerana kos pengasuh pun agak mahal sekarang.
"Jika ada sesiapa bersedia tawarkan kerja yang bersesuaian yang boleh saya buat dari rumah, saya bersedia menerimanya," katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masalah dihadapi telah mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (Perkasih N9) dan Baitulmal.
Bagi yang berhasrat menyumbang boleh salurkan di akaun bank CIMB bernombor 7621637509 atas nama Siti Nurliyana.