Pro, kontra keputusan FAM

Iklan
Elavarasan mengendali sesi latihan skuad B-23 negara di Wisma FAM, Kelana Jaya minggu lalu. - Foto FB FAM

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghantar skuad Bawah 23 tahun (B-23) menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September depan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong mahupun pemerhati bola sepak negara.

Bagi jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan, beliau secara peribadi melihat tindakan FAM itu mengundang beberapa elemen positif dan negatif kepada skuad Harimau Muda kendalian E Elavarasan.

Iklan
Iklan

"Saya nampak ada negatif, ada positif. Sebenarnya bagi saya, jika mahu memberikan pendedahan kepada pemain terutamanya pemain muda, FAM perlu untuk menghantar skuad B-23 beraksi di China.

"Lebih banyak kejohanan kompetitif disertai, ia baik buat pemain-pemain muda negara apabila mereka beraksi bersama-sama. Mereka hanya satu tahap lagi untuk mewakili pasukan senior negara.

Iklan

"Dalam liga domestik pun kita sukar nak cari pemain muda yang mampu menyinar kerana dibayangi oleh pemain import dan senior. Jadi kejohanan kompetitif itu akan menyerlahkan keupayaan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Pada Isnin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell mengesahkan keputusan untuk tidak menghantar pasukan adalah untuk memberikan tumpuan layak ke pentas Piala Asia B-23 pada tahun depan.

Iklan

Sebelum itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan badan induk itu tidak akan menghantar pasukan ke Hangzhou, China kerana tempoh yang terlalu hampir dengan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober, sementara pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dijangka bermula dari 4 hingga 12 September depan.

Mengulas lanjut, Wan Jamak berkata, FAM sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri dengan tindakan mereka untuk tidak 'merisikokan' skuad B-23 beraksi pada Sukan Asia kali ini.

"Mungkin FAM berasakan satu langkah terbaik untuk tidak beraksi pada Sukan Asia dan kita kena hormati keputusan mereka. Kalau hantar pasukan tetapi tewas sudah tentu mereka akan dikecam.

"Jadi saya percaya FAM sudah membuat penilaian dan kajian terlebih dahulu sebelum buat keputusan itu dengan melihat kejohanan mana lebih penting disertai,” ujarnya.