Bakal pengantin turut terkorban

Iklan
Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kiri) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada keluarga Fevas Tayyar, warga Syria yang menetap di Turkiye.

PADA tarikh 11 Februari, Muna Tayyar, 17, dan pasangannya, Ali Darwish, 25, sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan di rumah mereka di Antakya, di wilayah Hatay, selatan Turkiye.

Segala persiapan telah diatur dua pasangan muda itu termasuklah makanan dan jemputan melibatkan keluarga terdekat serta rakan-rakan.

Iklan
Iklan

Namun segalanya musnah apabila Muna terkorban dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang menggegar Turkiye pada 6 Februari lalu.

Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Iklan

"Jodoh mereka tidak kesampaian. Muna terkorban dalam runtuhan kediaman kami,” kata ibu Muna, Sobah Tayyar, 45, kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah saudara mereka di bandar ini.

Biarpun sudah 19 hari peristiwa itu berlaku, Sobah masih mengingati dengan jelas saat anak sulungnya itu dijemput Ilahi.

Cerita Sobah, sewaktu sedang menyediakan adunan roti untuk juadah sarapan di rumah mereka yang dibina di atas bumbung bangunan setinggi tiga tingkat, berlaku gegaran kuat sehingga menyebabkan dirinya terjatuh ke ruangan tangga.

Iklan
Sobah Tayyar (kiri) sebak menceritakan anak sulungnya, Muna Tayyar, 17, yang tidak sempat untuk melangsungkan perkahwinan selepas terkorban dalam kejadian gempa bumi melanda Turkiye pada 6 Februari lalu.

Dalam suasana yang kelam kabut, suami, Fevas Tayyar, 45, dan anak, Muhammad, 15, serta Omar, 10, bergegas membantunya dan terus menyelamatkan diri.

Sobah berkata, bagaimanapun ketika menuruni tangga, mereka terjatuh apabila lantai bangunan itu runtuh.

"Sewaktu diselamatkan, Muna masih bernyawa tetapi ketika di dalam dakapan saya, dia muntah darah dan terus menghembuskan nafas terakhir.

"Pada mulanya saya tidak percaya dia telah tiada. Saya sedaya upaya memanggil namanya untuk bangun,” ceritanya sambil berlinangan air mata.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 43,556 nyawa.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Fevas Tayyar mengalami kecederaan retak kaki kanan ditimpa dinding rumah ketika cubaanya menyelamatkan diri dalam kejadian gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu. Gambar kanan: Omar Tayyar, 10, mengalami kecederaan di pahanya.

Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

Turkiye juga menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka telah berlindung di wilayah bencana.

Sobah memberitahu, kejadian itu juga menyebabkan kaki kanan suaminya retak dan anak bongsunya mengalami luka teruk pada kaki kiri.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/