KUALA TERENGGANU - Suasana Pasar Pagi Kampung Kubang Lembek, Manir yang terletak kira-kira 17 kilometer (km) dari pusat bandar, di sini benar-benar menggamit nostalgia sebuah pasar lama yang masih mengekalkan ciri-ciri masyarakat tradisional Melayu suatu ketika dahulu.
Pasar lama yang dibina sejak lebih 40 tahun lalu itu juga dikenali sebagai Pasar Haji Harun dalam kalangan penduduk setempat sempena nama pengasasnya iaitu mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Allahyarham Datuk Harun Taib yang meninggal dunia pada Januari 2014.
Perjalanan kira-kira 25 minit dari pusat bandar Kuala Terengganu ke lokasi itu tidak begitu dirasai kerana ia terletak di kawasan pinggir bandar.
Menurut Ahmad Puteh, 69, dia merupakan individu pertama yang menjalankan perniagaan di situ selepas pasar tersebut dibina sekitar tahun 1982 dan kini bertanggungjawab menyelia pasar berkenaan.
"Disebabkan kawasan ini merupakan tanah pusaka saya dan adik beradik, kami telah berbincang untuk jadikan ia sebagai kawasan menjual makanan pagi pada setiap Jumaat. Sejak itu, pasar di sini semakin berkembang maju dan menerima ramai pelanggan sehinggalah hari ini," katanya.
Ahmad atau lebih mesra digelar Haji Aziz berkata, pasar yang dibuka seawal jam 7 sehingga 11.30 pagi itu mempunyai lebih 50 peniaga serta menerima kunjungan sekitar 300 hingga 400 pengunjung.
Ujarnya, jumlah pengunjung akan bertambah dua kali ganda ketika musim cuti persekolahan.
Bercerita lanjut, Ahmad berkata, terdapat cadangan supaya pasar itu dibangunkan fasiliti baharu namun mereka mahu terus kekalkan tradisi jualan mengikut cara pasar lama.
"Ada cadangan untuk bangunkan fasiliti baharu tetapi kami tidak setuju kerana mahu mengekalkan cara tradisional yang melambangkan perniagaan lama dan lain daripada yang lain.
"Mungkin juga keadaan pasar ini menyebabkan ia turut digelar 'pasar bunian'," katanya yang merupakan Pengerusi Markas Tarbiah Kubang Lembek
Seorang peniaga, Aisyah Farhanah Ahmad, 28, berkata, keunikan gerai yang menggunakan bangsal kayu menjadikan ia lebih unik dan berlainan berbanding pasar di tempat lain.
Katanya, selain keunikan binaan pasar, kuih-muih tradisional yang juga ada dijual di sini menyebabkan ia tidak sunyi daripada menerima kunjungan pelanggan.
"Antara kuih-muih tradisional yang ada dijual di sini ialah ikan solok, lada solok, keropok lekor dan pelbagai lagi kuih muih-lama yang kini sukar untuk ditemui di tempat lain,"katanya.
Sementara itu, Chik Junus, 57, yang merupakan ibu tunggal berkata, pasar lama itu meninggalkan nostalgia yang tidak pernah padam bagi dirinya kerana dia membesarkan dua anaknya hasil perniagaan di situ selepas kematian suami pada 1991.
"Suami meninggal dunia ketika saya masih dalam pantang. Sekarang anak sulung sudah berusia 34 tahun manakala anak kedua berusia 32 tahun.
"Dulu saya datang berniaga di sini dengan hanya menaiki basikal. Sekarang sudah banyak beza sebab anak-anak dah besar dan mereka juga tolong saya berniaga.
"Selain di sini, saya juga berniaga di Pasar Tani Hiliran di bandar Kuala Terengganu pada setiap Khamis," katanya yang tinggal di Kampung Binjai Manis, Manir.
Seorang lagi peniaga, Fatimah Ruzimah Muhamad, 49, berkata, dia mula menjual di situ sejak berusia 12 tahun bagi membantu kedua ibu bapanya.
"Saya sekarang meneruskan perniagaan di sini di samping melakukan pekerjaan lain. Kebanyakan kuih-muih yang dijual adalah yang dihantar termasuk kuih-muih tradisional," katanya.
Saerah Awang, 66, pula berkata, dia berpuas hati kerana hasil jualannya laris dan ramai pelanggan berkunjung ke gerainya untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Antara jam 9 hingga 10 pagi pasar ini biasanya dibanjiri pengunjung yang datang mencari barangan keperluan harian termasuk makanan.
"Kalau musim cuti sekolah lagi ramai yang akan berkunjung ke sini," katanya yang turut menjual ikan pekasam, rojak kateh, kateh lembu segar (siap diproses), pisang, asam gelugur serta beberapa lagi barangan lain.
Seorang pengunjung, Mansor Ibrahim, 63, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk ke pasar itu setiap Jumaat.
"Pasar ini begitu sinonim dengan saya. Hampir setiap Jumaat saya ke sini. Kadang-kadang tak ada benda pun nak cari di sini saja datang tapi balik dengan barangan di tangan.
"Pendek kata macam-macam ada di pasar ini walaupun ia tidak seperti pasar moden, ada aura yang sukar untuk diungkap yang masih kekal di sini," katanya.