Belanjawan Madani langkah tepat hadapi cabaran sukar

Iklan
Nor Mohamed Yakcop

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 merupakan langkah yang tepat dalam menghadapi cabaran yang sukar, terutamanya di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan harga makanan, kata Khazanah Research Institute (KRI).

Pengerusi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bakal diumumkan adalah langkah yang signifikan untuk mencapai pertumbuhan nilai tambah yang tinggi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pembiayaan bersasar sebanyak RM1.5 bilion oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk syarikat pemula tempatan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Selain itu, sejumlah RM40 bilion juga disediakan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk pembangunan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Iklan

Pembiayaan tambahan untuk digitalisasi dan automasi juga disediakan untuk membolehkan perniagaan kekal bertahan dan terus bersaing.

"Langkah-langkah untuk memperkasakan potensi isi rumah berpendapatan rendah melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), insentif kepada majikan untuk peningkatan gaji bagi kumpulan sasaran, serta pengurangan kadar cukai bagi isi rumah M40 benar-benar mencerminkan konsep kesejahteraan bagi semua rakyat Malaysia," jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, perluasan perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka yang bekerja sendiri melalui sumbangan caruman sebanyak 80 peratus oleh kerajaan, serta sumbangan sebanyak RM500 ke akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang berumur antara 40-54 tahun dengan simpanan persaraan yang rendah, merupakan inisiatif yang signifikan kepada kesejahteraan golongan berpendapatan rendah.

Dalam menangani risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, fokus Belanjawan 2023 juga diterjemah melalui peningkatan Transfer Fiskal Ekologi (EFT) bagi mempertahankan khazanah semula jadi.

Belanjawan 2023 dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen.

Bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI', ia menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.

Ini adalah belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. - Bernama