Belanjawan 2023 dapat mendepani cabaran sektor agromakanan

Iklan
Belanjawan 2023 dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan. - Foto hiasan 123RF

SHAH ALAM - SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) yakin bahawa Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyambut baik Belanjawan Madani 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama atas keprihatinan terhadap sektor pertanian.

Iklan
Iklan

"Belanjawan yang dibentangkan diyakini dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan.

"Peningkatan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, selaras dengan agenda keterjaminan makanan maka pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion diperuntukkan dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Jelas beliau, perkara tersebut akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata, penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja.

Justeru, beliau memaklumkan inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan bagi memperluaskan selain memperkasakan penerima gunaan teknologi moden.

Tambahnya lagi, kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.

"Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan berkenaan.

"Inisiatif-inisiatif yang diumumkan adalah penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform 'Cloud Kitchen' dan program Kebun Komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat," ujarnya.

Menurut Mohamad Sabu, kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

Jelas beliau, pihaknya yang bertindak sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara komited melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.

"Saya yakin inisiatif Belanjawan Madani akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)," ujarnya.