PENELITIAN semula tentang isu sungai dan pencemaran ini telah banyak diperkatakan, malah sehingga menjadi isu antarabangsa melibatkan faktor penjagaan dan pemuliharaan, polisi dan pemantauan, pencemaran yang tiada berkesudahan dan sebagainya.
Tidaklah gagal, tetapi mentaliti berpuluh tahun sejak negara mencapai kemerdekaan masih di tahap sederhana.
Perubahan mentaliti yang diharapkan adalah dengan membina jati diri rakyat yang menjadi pelopor, pemantau, penyedia dan peneman setia menjaga keindahan sungai serta bio-kepelbagaiannya dan bukan hanya terbeban kepada akta, garis panduan dan agensi kerajaan yang terbabit.
Saban waktu, media-media tempatan mempromosi pelbagai inisiatif tambahan dan aktiviti jangkauan semasa yang menelusuri denyut nadi isu sungai.
Namun sifat tidak bertanggungjawab dan kejahilan beberapa pihak telah menyebabkan bukan sahaja sungai menjadi mangsa malah memberi impak negatif sehingga menjejaskan kesihatan dan kualiti kehidupan seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini.
Oleh itu universiti sebagai pusat pendidikan perlu memainkan peranan supaya dapat membentuk dan membina generasi yang sedar tentang kepentingan melestarikan sungai kerana pelajar-pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan ini menghabiskan usia menimba ilmu dan kehidupan di universiti
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat menitikberatkan kelestarian di pelbagai peringkat yang menyantuni kelompok pentadbir, operasi, akademia, penyelidik serta semua warga kampus selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti terutamanya SDG-6 dan SDG-14.
SDG-6 adalah merupakan salah satu inisiatif antarabangsa di bawah UNDP yang menyasarkan Clean Water and Sanitation, iaitu salah satu petunjuk keberhasilan sebarang program atau aktiviti yang memadankan dengan air bersih dan sistem kumbahan, terutama yang melibatkan pencemaran air manakala SDG-14 adalah untuk memastikan kitaran kepelbagaian biologi di dalam air juga dapat dilaksanakan.
Sasaran ini amat bermakna memandangkan beberapa cabang sungai yang mengalir di kampus UTM ini juga melibatkan sistem kumbahan berpusat yang mana hasil akhir sisa ini dialirkan ke parit-parit utama sebelum bertemu di sistem sungai.
Projek Riverdale
Rentetan daripada itu, sekumpulan mahasiswa prihatin telah menubuhkan satu kumpulan sukarelawan pelajar dari Kolej Rahman Putra (KRP) untuk menyantuni agenda kelestarian universiti dan menyahut seruan untuk sentiasa menjaga kebersihan sungai melalui projek bersiri yang dinamakan Projek Riverdale.
Riverdale yang bertemakan"God’s Wonder, Natural Treasure” merupakan inisiatif awal pihak sukarelawan menjadi aktivis yang memperjuangkan nilai serta elemen sumber air yang mempunyai pelbagai karakter dan modus operandi.
Bukan hanya laungan retorik ataupun gimik pelancaran semata-mata, tetapi program ini menjadi penanda aras baru dalam menyampaikan mesej alam.
Pada masa kini, aktivis-aktivis Riverdale mengumpulkan pelbagai idea, sokongan bukti dan keterlibatan secara tidak langsung warga kampus dalam menyediakan pengkalan data kepelbagaian spesies yang mendiami sungai-sungai UTM yang dianggarkan sejauh 20km yang melingkari kawasan bukit kampus sehingga bertemu dengan sistem sungai utama, iaitu Sungai Skudai.
Walaupun terdapat sekelompok golongan yang memperjuangkan isu yang sama, keunikan kelompok ini adalah digerakkan oleh mahasiswa sendiri yang diterajui oleh Insyirah Abd Razak menerusi jaringan Makmal Hidup (Living Lab) UTM, tanpa ada batas waktu.
Riverdale fasa pertama telah dimulakan pada 30 September 2018, bersempena dengan Hari Sungai Sedunia, yang melibatkan pembersihan kawasan persekitaran sungai.
Fasa kedua adalah menyediakan keperluan aplikasi menerusi kerjasama beberapa penyelidik dan pegawai operasi yang digerakkan menerusi jawatankuasa sekretariat UTM Campus Sustainability (UTMCS).
Keperluan teknikal ini adalah membantu para aktivis merancang program rawatan sungai tanpa melibatkan kos yang tinggi.
Antara program tersebut adalah mereka bentuk rawatan menggunakan bola lumpur (mudball) yang diformulasi secara klinikal oleh Bakteria Efektif (hasil kajian UTM sendiri) menerusi sumbangan ikhlas sukarelawan yang berjaya menghasilkan bola lumpur sebanyak 1300 biji di bawah bimbingan Unit Ladang, IPASA dan UTMCS.
Bebola ini merupakan cadangan awal bagi menyediakan pengetahuan teknikal kepada warga kampus dan menjadi titik permulaan komitmen berterusan rawatan air sungai ini.
Sistem Tanah Bencah
Selain itu, aktivis Riverdale juga merancang satu lagi program berteknologi yang menggunakan kepakaran UTM iaitu penyediaan Sistem Tanah Bencah Terapung (Floating Wetland System).
Sistem ini bakal mengubah keseluruhan landskap dan keperluan rawatan kualiti air sungai UTM bagi teknologi fito-remediasi dengan pengurangan kos sehingga 50% daripada teknologi konvensional.
Sistem ini bakal dibangunkan dengan kerjasama program kesedaran dan pertandingan antara warga kampus bagi mencari kebolehupayaan sistem secara tuntas.
Tanpa berselindung, gerak kerja seperti ini akan mempercepatkan proses asimilasi pembangunan sungai yang lestari. Keterlibatan pelbagai pemegang taruh menerusi program seperti ini juga akan dapat dilihat sedikit masa lagi.
Program ini mendapat sokongan penuh UTMCS dan merupakan program berterusan yang diperkenalkan selaras dengan keperluan semasa Universiti dan sebuah bentuk perjuangan yang tidak berkesudahan untuk menggalakkan sinergi bersama kolej-kolej, pusat operasi dan fakulti-fakulti yang lain.
UTMCS merupakan sekretariat utama yang menggalakkan kerjasama yang besar, mampu mencambahkan idea yang lebih bernas dan skala impak yang lebih besar pada masa depan.
Antara catatan beliau di Facebook semasa pelancaran Riverdale ini, beliau juga mendedahkan tentang kemungkinan rantaian hidup serangga kelip-kelip yang habitatnya terdapat di salah satu pokok berembang yang terdapat banyak di KRP, UTM.
Agak teruja mendapati spesies kelip-kelip ini merupakan antara petunjuk awal mengenai ekosistem dan penerimaan flora/fauna yang lain setelah sistem sungai di UTM mencapai klimaks biologinya.
Menerusi cadangan sinergi pemegang-pemegang taruh di kampus, aktivis Riverdale juga telah menyediakan pertunjukan demonstrasi uji kaji pencerapan kualiti air menerusi kerjasama wakil Arachem, iaitu saudari Heng Keng Kek.
Beliau merupakan satu-satunya syarikat yang menyokong inisiatif ini dan telah memberikan khidmat secara percuma kepada UTM mengenai kualiti sampel air sungai sekitar UTM.
Visi untuk aktivis Riverdale adalah menyokong dan membantu penubuhan Unit Pemantau UTM yang akan memberikan pemantauan secara berkala bagi menjaga ekosistem sistem sungai di UTM.
Sistem ini juga akan mempelopori agenda Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menerusi kerjasama rangkaian penyelidik-penyelidik kampus.
Antara parameter kualiti air yang bakal diberikan penekanan adalah kandungan jumlah bakteria dan sumber pencemar organik dalam air untuk menterjemahkan sisi jaminan kualiti air kepada pengguna kampus.
Justeru, program bersifat sederhana dan berpusat seperti Riverdale ini merupakan antara inisiatif terbaharu pihak universiti merancang agenda nasional yang lebih besar seperti melibatkan polisi dan garis panduan agenda kelestarian.
Riverdale ini memerlukan sokongan berterusan yang bukan bermusim dan harapan universiti ialah agar program ini menjadi contoh dan ikutan kepada lebih banyak lagi program ke arah kelestarian.
Dunia pada hari ini memerlukan sinergi berterusan dan sudah tentulah cerminan mahasiswa adalah golongan pengubah sinergi itu.
* Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil, Universiti Teknologi Malaysia