'Kelantan United bukan milik kerajaan negeri'

Iklan
Rozi (empat, kiri) bersama pemain dan penaja pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Penaja Kelantan United Bagi Musim 2023.

KOTA BHARU -"Kami bukan milik kerajaan negeri". Itu penegasan yang diberikan oleh Presiden Kelantan United FC, Rozi Muhamad selepas masih ada penyokong keliru dengan status pasukan berkenaan.

Rozi berkata, Kelantan United merupakan sebuah pasukan yang diuruskan secara profesional sebagaimana pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.

Iklan
Iklan

"Jadi saya harap semua pihak tidak lagi keliru dengan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Penaja Kelantan United Bagi Musim 2023 pada Jumaat.

Menurut beliau, Kelantan United tetap perlu membayar levi penggunaan stadium sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan lain.

Iklan

Rozi bagaimanapun memberitahu hubungan baik antara pihaknya dan kerajaan negeri telah terbentuk sejak awal lagi semasa pasukan dikenali dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Urusetia Belia dan Sukan (Ubes).

"Kelantan United bermula dari saingan Liga M3, Liga Perdana dan kini di Liga Super. Kita mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas kemudahan-kemudahan tertentu yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri kepada kelab ini," katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain Rozi memberitahu, sebagai pendatang baharu dalam saingan Liga Super musim ini Kelantan United menyasarkan kedudukan 10 terbaik.

Katanya, saingan itu mampu digapai berpandukan kepada persiapan dan barisan pemain yang dibawa masuk untuk memperkasakan pasukan musim ini.