KUALA KRAI - Sejak lebih 30 tahun lalu, Gunung Stong di Kuala Krai hanya dijadikan tempat pendakian bagi pencinta alam semula jadi, namun sejak kebelakangan ini, gunung tersebut semakin berkembang sebagai tarikan pelancongan.
Bukan lagi sekadar ‘litar’ bagi pendaki menguji kekuatan dan kecergasan diri, gunung yang mula dibuka kepada awam sejak 1980-an itu kini dikunjungi pelancong bagi tujuan rekreasi keluarga, rakaman fotografi dan lawatan pelajar sekolah.
Perkara itu diakui Ketua Pegawai Operasi Resort Stong Hill (RS), Mohamed@Yahya Ismail, 74, yang mengambil alih pengurusan Gunung Stong sejak November tahun lalu.
Menurutnya, permintaan ke Gunung Stong naik mendadak dengan anggaran tak kurang 400 pelancong setiap bulan sejak keindahan dan keunikan alam semula jadi gunung serta kecantikannya sebagai latar fotografi menjadi bualan di laman sosial.
Air terjun tertinggi di Asia Tenggara
Katanya, pelancong teruja meneroka gunung berusia ratusan tahun itu bagi aktiviti melihat matahari terbit di Kem Baha, melihat pelbagai jenis burung, meneroka alam semula jadi ataupun mandi-manda di Air Terjun Jelawang yang juga air terjun tertinggi Asia Tenggara.
"Mula-mula datang, saya akui tempat di sini tidak begitu terurus, jadi pengurusan sepakat ‘tukar wajah’ Stong kepada resort dengan permulaan menyediakan kemudahan infrastruktur lengkap dan selesa.
"Kemudahan seperti penginapan, tandas bersih, bangunan diceriakan dengan cat baharu selain bekalan elektrik 24 jam berbanding ‘generator’ sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Resort Stong Hill.
Tawar pakej bulan madu Katanya, dia dan anak serta menantu yang mempunyai pengalaman mengendalikan resort terkemuka negara kini menyediakan kedai serbaneka, lima chalet penginapan yang diberi nama Petaling, Balau Kumus, Keranji, Pulasan dan Nyatoh.
"Kita juga sediakan beberapa dorm seperti dorm Kulim, Teja, Sentang dan Halban yang memuatkan 120 orang dalam satu masa serta Dewan Seraya iaitu dewan serba guna untuk kegunaan kumpulan eksplorasi,” katanya sambil memberitahu terdapat lima kakitangan berkhidmat 24 jam.
Lebih menarik katanya, pengurusan turut menyediakan pakej berbulan madu dengan Chalet Tempinis Bonda dilengkapi perabot selain pemandangan berlatarbelakangkan air terjun.
Dikelilingi gua
Perubahan persekitaran Gunung Stong yang lebih menarik itu dapat dirasai pengamal media dari Kelantan dan Pahang sempena Program Pemantapan Fizikal dan Taktikal di Hutan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan.
Program pada 1 hingga 3 Mac lalu melibatkan 60 penyertaan turut mengerah keringat menawan dua puncak iaitu Kem Baha, menempatkan puncak Air Terjun Jelawang dan puncak Gunung Stong setinggi 1,422 meter aras laut yang memakan masa 16 jam untuk pergi dan balik.
Pendakian turut disertai Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Nazili Mahmood (ketika itu); Pengarah JBPM Negeri Pahang, Nor Hisham Mohamad serta pengamal media dari Kelantan dan Pahang. Perbezaan ketara itu dikongsi seorang peserta, Nor Amalina Alias yang pernah mendaki gunung tersebut pada Ogos tahun lalu dan baginya persekitaran resort juga lebih menarik.
"Biarpun penat, namun kepuasan bermanja dengan tupai berdada merah dan melihat sendiri pohon buluh perindu yang hanya terdapat di puncak Stong cukup mengujakan saya.
"Sehari tidak cukup rasanya untuk menikmati segala keindahan dan keunikan gunung ini yang dikelilingi beberapa gua seperti Gua Ikan dan Gua Keris. Masing-masing terdapat haiwan zaman fosil dan spesis yang jarang ditemui seperti labah-labah ‘trapdoor’,” katanya.
MOTAC mahu iktiraf pendaki
Sementara itu, Pengarah MOTAC Negeri Kelantan,Mohd Aidil Afizie Daud berkata, pihaknya juga merancang mengeluarkan sijil pengiktirafan khas buat pendaki yang berjaya menamatkan pendakian sama ada di tiga puncak iaitu Kem Baha yang menempatkan puncak Air Terjun Jelawang, puncak Gunung Ayam dan puncak Gunung Stong atau salah satu daripada tiga puncak itu.
Katanya, sijil akan diberikan kepada pendaki yang mendapatkan khidmat pemandu pelancong semula jadi berlesen atau lebih dikenali sebagai malim gunung.
"Kita juga akan cuba berbincang dengan Jabatan Perhutanan untuk membuat satu sistem operasi standard (SOP) bagi menjaga keselamatan pelancong, selain kita boleh tahu berapa jumlah pelancong yang datang dan memastikan alam sekitar di sini tetap terpelihara,” katanya.