BALING - Seorang bapa tidak dapat menahan kesedihan selepas gagal menyelamatkan anak perempuannya dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Besah, Kuala Ketil, dekat sini pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Rozali Nayan, 55, bersama isterinya, Norsakinah Shuib, 33, dan anaknya, Nur Batrisyia, 14, sedang tidur di rumah terbabit.
Rozali berkata, isterinya yang juga ibu tiri kepada remaja perempuan itu kemudiannya terhidu asap sebelum menyedari rumah mereka sedang terbakar lalu mengejutkan dirinya dan Nur Batrisyia.
Katanya, dia cuba menyelamatkan anak perempuannya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri itu yang sedang tidur di biliknya di tingkat atas rumah.
"Sehingga kini, saya masih terdengar suara anak menjerit kesakitan dan meminta tolong, sedih tidak dapat masuk ke bilik untuk selamatkannya," katanya pada Jumaat.
Rozali memberitahu, dia berasa amat sedih kerana sudah berusaha untuk menyelamatkan anak perempuannya namun tidak dapat membantu kerana api marak dengan cepat.
Menurutnya, jasad anak perempuan ditemui tidak lama kemudian selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kediaman mereka itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal itu berlaku kira-kira jam 7 pagi.
Beliau berkata, mayat remaja itu ditemukan pada jam 9.40 pagi dalam keadaan terlentang dan terbakar sepenuhnya oleh anggota bomba.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar ditemukan rentung dalam satu kebakaran rumah dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.