BATU GAJAH - Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mengkaji kaedah lain yang dapat membantu memudahkan pemberian pampasan kepada penerima manfaat.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, langkah itu dilakukan susulan rungutan dan rintihan daripada orang ramai yang terkesan apabila permohonan dibuat, ditolak.
Menurutnya, pada masa ini, sebarang kelulusan dan kelayakan tuntutan Perkeso adalah berdasarkan cadangan dibuat Jemaah Doktor dan Jemaah Rayuan.
"Perkeso menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka berdasarkan apa yang termaktub dalam undang-undang.
"Namun saya sedar dan prihatin terhadap isu tidak mendapat pampasan ini, terutama apabila permohonan mereka sentiasa ditolak oleh Jemaah Doktor.
"Saya telah berbincang dengan Perkeso berkaitan perkara ini untuk melihat semula kaedah lain yang mungkin ada bagi mempermudahkan pemberian pampasan kepada pencarum," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlake Village Outlet dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas mengenai pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 sepertimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Sivakumar berkata, perkara itu akan melibatkan beberapa sesi libat urus sebelum dapat dibentangkan ke Kabinet.
Katanya, menerusi sesi berkenaan, penambahbaikan dapat dilakukan terutama dalam memperincikan perkara penting yang perlu dipinda.
"Perkara ini memang telah dibincangkan dan kita akan adakan satu atau dua kali lagi sesi libat urus untuk memastikan apakah sebenarnya yang akan dipinda dan sebagainya.
"Setelah itu, pindaan tersebut akan dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri dan akhirnya dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat," katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengumumkan, Perkeso akan meminda aktanya untuk membolehkan pemberian geran 80 peratus daripada nilai gaji bulanan yang diinsuranskan bagi wanita yang kembali bekerja setelah bersalin.
Sementara itu, dalam ucapannya Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, inisiatif kerajaan khususnya menerusi Program Pasaran Buruh Aktif berjaya menurunkan kadar pengangguran dalam suku keempat 2022 kepada 3.6 peratus, menghampiri kadar pengangguran sebelum pandemik iaitu 3.2 peratus pada suku keempat 2019.
Ujar beliau, statistik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menunjukkan bahawa kadar penyertaan dalam pasaran buruh pada suku tersebut telah meningkat ke 15.94 juta orang berbanding 15.83 juta orang pada suku ketiga tahun 2022.
"Daripada jumlah 600,500 orang yang menganggur dalam suku keempat 2022, seramai 31,900 orang adalah dari negeri Perak," katanya.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Batu Gajah berlangsung selama dua hari dengan tawaran lebih 5,000 peluang pekerjaan.
Antara majikan mengambil bahagian, Perak Community Specialist Hospital, Mydin Mohammed Holdings Berhad, Maybank Berhad, Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, 99 Speedmart Sdn Bhd, Genting Malaysia Berhad, McDonald’s Malaysia, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd dan AEON Co.(M) Berhad.