JOHOR BAHRU - Pemilihan UMNO 2023 adalah bagi mewujudkan sebuah pasukan yang mampu memulihkan parti dan bukan untuk melonjak dan membawa kegemilangan terhadap seseorang individu, kata Naib Presiden UMNO,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang akan mempertahankan jawatannya itu berkata, pemilihan yang akan berlangsung bulan depan, merupakan proses untuk melahirkan kepimpinan mantap dan membantu parti menangani pelbagai cabaran pada masa akan datang.
"UMNO memerlukan satu pasukan yang mampu memulih dan merawat parti. Kita sedar kedudukan UMNO yang tidak lagi seperti dahulu, maka tentulah kita perlu meletakkan asas-asas yang betul dalam soal untuk memulihkan UMNO.
Kita perlu pasukan yang boleh sama-sama lakukan pemulihan kerana ia satu proses dalam keluarga, jadi yang menang adalah UMNO dan bukan individu,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu pada sidang media selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keyakinannya mempertahankan jawatan itu memandangkan ramai menawarkan diri bertanding kedudukan tersebut, termasuk bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, selain jawatan Naib Presiden, beliau juga akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.
Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. - Bernama