SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan supaya reformasi gaji negara dibuat secara menyeluruh terutama pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) bagi memastikan gaji pekerja dianjak kepada gaji wajar agar menarik minat pekerja tempatan.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, skala gaji yang mempunyai gaji permulaan, gaji akhir dan kenaikan tahunan perlu diwujudkan berdasarkan kepada kelayakan akademik, pengalaman serta kemahiran.
"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengesahkan bahawa gaji rendah dan ketidakpadanan pekerjaan adalah masalah kepada pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan.
"Kenyataan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2023 mengenai kebergantungan syarikat kepada pekerja asing adalah disebabkan sektor perladangan menawarkan gaji rendah.
"Selain kebajikan pekerja tidak terjamin adalah kenyataan yang berlandaskan realiti yang menyebabkan pekerja tempatan tidak menyertai pekerjan sektor 3D," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, syarikat Sime Darby telah melaksanakan dan membuktikan bahawa pekerja ladang bergaji RM3,000 telah menarik minat pekerja tempatan.
Menurutnya, pandangan majikan yang menyatakan bahawa pekerja tempatan tidak berminat dalam sektor 3D adalah mengelirukan kerana pekerja tempatan sanggup ke Singapura semata-mata untuk pekerjaan itu kerana penawaran gaji yang tinggi.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin juga yakin dengan usaha Perdana Menteri untuk merapatkan kesenjangan ekonomi rakyat selain tidak membiarkan jurang itu dengan menaikkan gaji pekerja bawahan.
"Kita bersetuju dengan cadangan semakan semula ke atas pakej saraan eksekutif dan pengurusan tertinggi syarikat serta badan berkanun pada kadar yang munasabah," jelasnya.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri untuk meneliti gaji bulanan pengurusan tertinggi syarikat dan badan berkanun yang dianggarkan sehingga RM100,000 sebulan.
Jelasnya lagi, perbezaan ketara gaji pekerja bawahan dengan pengurusan tertinggi sehingga 40 kali ganda telah menyebabkan kisah antara dua darjat masih berlaku dalam dunia moden pada masa ini.
Katanya, keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan marhaen amat jelas dengan pengumuman RM500 tambahan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tabungan masa tua.
"MTUC meminta kerajaan menambah simpanan pekerja secara berterusan bagi menambah tabung pekerja," ujarnya.