2 pelajar tahfiz terima Sijil Hafazan Bersanad 30 Juzuk di Makkah

Iklan
Mohd Arif (dua dari kiri) bersama tetamu kehormat dan pelajar cemerlang yang berjaya menamatkan hafazan.

KEMAMAN - Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Kijal di sini mencipta kejayaan tersendiri apabila dua pelajarnya berjaya menamatkan hafazan bersanad 30 juzuk bersama Institut Maqra’ah Al Alamiah yang berpusat di Makkah.

Lebih membanggakan, Muhamad Syakirin Mohd Salleh, 18 dan Abdullah Muqri Abd Aziz,17, mampu menamatkan hafazan bersanad dan bergelar hafiz dalam masa 16 bulan sahaja berbanding tempoh biasa sekitar tiga tahun.

Iklan
Iklan

Pengasas yang juga mudir Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Datuk Mohd Arif Ismail berkata, mereka merupakan perintis kepada program pengajian hafazan bersama institut itu yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

"Mereka mengikuti kelas bersama guru-guru di Makkah secara online mengikut jadual ditetapkan. Ada masanya kelas bermula jam 6 pagi (sekitar 1.30 pagi waktu Makkah) dan ini merupakan satu kejayaan apabila berjaya tamatkan hafazan masing-masing.

Iklan

"Dua pelajar ini dijangka menerima Sijil Hafazan Bersanad 30 Juzuk dari Institut Maqra’ah Al Alamiah, Makkah pada 6 Mac nanti. Bagi tujuan itu, rombongan enam orang terdiri daripada saya, pelajar dan ibu bapa mereka akan bertolak ke sana pada 3 Mac nanti.

"Kos pemergian dua pelajar ini ditanggung pusat tahfiz dan para penginfak manakala yang lain menggunakan belanja sendiri,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelepasan Pelajar Tahfiz Menerima Sijil Hafazan 30 Juzuk Ke Institut Maqra'ah Al Alamiah Makkah.

Iklan

Majlis yang disempurnakan oleh Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah itu diadakan di Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Meraga Beris, Kijal, di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Arif, Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie turut merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Institut Maqra’ah Al Alamiah, mewujudkan kelas pengajian hafazan bersanad secara dalam talian di sini.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu berjaya, pihaknya akan membuka tawaran kepada pelajar Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie dan mana-mana pihak yang berminat mendalami bidang hafazan bermula tahun depan.

Muhammad Nasir (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada pelajar yang berjaya menamatkan hafazan bersanad 30 juzuk bersama Institut Maqra’ah Al Alamiah yang berpusat di Makkah secara dalam talian.

"Mahu mendapatkan sijil hafazan bersanad dari Makkah bukan mudah, kebetulan ustaz dari institut ini adalah guru saya ketika menuntut di Masjidil Haram. Jadi ini merupakan usaha yang mahu kita lakukan bagi melahirkan lebih ramai hafiz mendapat pengiktirafan dari sana,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nasir dalam ucapannya turut memberi nasihat dan perangsang kepada pelajar supaya tekun dalam mendalami Al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkan kandungan kitab suci ini ketika usia masih muda.

Jelas beliau, agama Islam menggalakkan umatnya rajin mencari ilmu melalui contoh surah al-Alaq agar menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

"Bagi ibu bapa pula, anak-anak dilahirkan putih, kitalah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka mengikut acuan betul. Guru-guru hanyalah wakil, yang penting adalah kita sebagai ibu bapa," katanya.

Sebagai rekod, Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie mula beroperasi pada tahun 2012 melibatkan pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 16 tahun dan sejak itu, pusat tersebut sudah berjaya melahirkan lebih 30 hafiz.