LONDON - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja selepas dua kes selesema burung, H5N1 dikesan pada sebuah keluarga di negara Asia Tenggara itu.
Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Epidemik serta Pandemik, Dr Sylvie Briand menyifatkan situasi itu sebagai membimbangkan susulan peningkatan kes tersebut termasuk dalam kalangan mamalia baru-baru ini.
"WHO sedang mengkaji penilaian risiko global berdasarkan perkembangan terkininya. Kita perlu mengambil serius ancaman H5N1 dan potensi pe-nularannya ke seluruh dunia. Saya menggesa negara antarabangsa supaya sentiasa berwaspada,” jelasnya.
Pada awal bulan lalu, penilaian risiko berhubung potensi jangkitan selesema burung terhadap manusia dianggap rendah oleh WHO.
Pihak berkuasa di Phnom Penh pada Khamis melaporkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat H5N1 dan turut menjalankan ujian terhadap 12 kontak rapat pesakit.
Keputusan itu menunjukkan bapanya yang telah menunjukkan simptom juga didiagnos positif virus tersebut.
Briand menambah, masih belum jelas sama ada terdapat kes melibatkan jangkitan antara manusia yang merupakan fokus utama WHO untuk menentukan jika kes tersebut mempunyai kaitan iaitu kontak rapat dengan burung atau haiwan dijangkiti. - AFP
Info
>Strain baharu H5N1, klad 2.3.4.4b yang muncul pada 2020 telah menyebabkan angka kematian tertinggi dalam kalangan burung liar dan ternakan domestik sejak beberapa bulan lalu. Ia juga menjangkiti spesies mamalia. Ia bagaimanapun dikatakan berbeza dengan penularan H5N1 lebih dua dekad lalu kerana tidak menyebabkan penyakit yang ketara pada manusia.
>Hanya enam kes melibatkan individu telah dilaporkan kepada WHO dan kebanyakannya adalah gejala ringan.