GEORGETOWN - Bekalan telur ayam di seluruh negara dijamin mencukupi menjelang bulan Ramadan yang bakal disambut pada hujung April nanti susulan penambahan pekerja di sektor tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sejak Januari sehingga Mac, kerajaan telah melonggarkan pengambilan pekerja untuk bekerja di beberapa sektor antaranya penternakan ayam dan sebagainya.
Menurutnya, bekalan telur ayam kini semakin pulih berbanding beberapa bulan sebelum ini susulan beberapa langkah yang diambil kementerian untuk menangani isu tersebut.
"Kita telah berjumpa dengan pengusaha telur ayam yang mengalami kekurangan pekerja sehingga menyebabkan pengeluaran telur berkurangan. Tempa-tempat mereka ini sedang ditambah pekerja mereka.
"Ini kerana, sejak Januari hingga Mac, kerajaan telah melonggarkan syarat pengambilan pekerja. Sekarang lebih 200,000 telah didaftarkan untuk bekerja di tempat-tempat seperti penternakan ayam dan lain-lain sektor peladangan," katanya selepas merasmikan Jelajah Agrotourism dan Agroyouth di Padang Kota Lama di sini pada Sabtu.
Turut hadir Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali.
Kata Mohamad lagi, kelonggaran syarat pengambilan pekerja yang dilaksanakan kerajaan adalah dari segi memudah cara antaranya melaksanakan pemutihan terhadap pekerja asing tanpa permit.
"Kerajaan membantu dari segi memudah cara antaranya pekerja yang ada di sini, tak ada permit. Kerajaan ambil mereka ini, buat pemutihan dengan meletakkan mereka antaranya sama ada di sektor ladang, di restoran atau tempat pengusaha ayam (telur).
"Polis, Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia bekerjasama untuk memudah cara supaya mereka ini dapat bekerja secara sah di Malaysia," katanya lagi.
Mengulas mengenai punca bekalan telur ayam berkurangan, Mohamad berkata, antara puncanya adalah kekurangan pekerja dan kenaikan harga makanan ayam.
"Soya 100 peratus kita import, jagung juga kita masih import kerana jagung yang ada di negara kita, dianggap tidak sesuai untuk dijadikan bahan makanan ayam. 'Grain corn' baru mula ditanam di Perlis dan tahun ini kita akan buat secara besar-besaran, agar jagung jenis ini ada di Malaysia.
"Ini sekali gus menampung sebahagian, insya-Allah harga ayam dapat dikawal dengan lebih baik," katanya.
Sebelum ini, Mohamad berkata, KPKM akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang bulan Ramadan ini.
Katanya lagi, pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha untuk menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor yang lain bagi tujuan itu.
Ini kerana, ramai pengusaha kuih raya mengeluh serta bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kementerian menyediakan bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) yang memanfaatkan 8,403 agropreneur muda di seluruh negara sejak 2016 hingga tahun lalu dengan nilai kelulusan RM151.75 juta.
Katanya, bantuan geran tersebut membabitkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ingin menceburkan diri dalam sektor pertanian.
"Sebanyak 146 pusat agropelancongan yang berdaftar di bawah bimbingan jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah diberikan bantuan Geran Agropelancongan dengan nilai RM22.13 juta.
"Kementerian melalui jabatan dan agensi sentiasa komited dalam memberi bantuan dan galakan yang berterusan dalam bentuk kewangan, infrastruktur dan latihan kepada belia bagi menceburi bidang agrokeusahawanan agar berupaya mentransformasikan sektor ini kepada pertanian moden yang mampu melipatgandakan tahap pengeluaran