TUARAN - Dua pemimpin UMNO Bahagian Kinabatangan mengisytiharkan keluar parti dan mengumumkan akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Mereka ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kinabatangan, Abu Bakar Gapar dan AJK Pemuda UMNO Kinabatangan, Fazli Kubin.
Menurut Abu Bakar tindakan itu dibuat tanpa paksaan dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
"Sudah sampai masanya saya bersama-sama kepimpinan parti tempatan yang inginkan satu perubahan yang besar.
"Ini adalah dibuat atas dasar rela hati, tanpa paksaan dan saya menyatakan menyokong penuh kepada Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah," katanya pada sidang media di Tuaran pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, sokongan anak muda terhadap UMNO di negeri itu dilihat semakin merosot terutama di Parlimen Kinabatangan.
Situasi itu katanya, merupakan antara faktor lain yang mempengaruhi keputusan beliau meninggalkan UMNO.
"Saya melihat sangat senario politik sudah jauh berubah. Jadi sudah pasti ini akan memberikan impak kepada survival politik UMNO Barisan Nasional di negeri Sabah ini.
"Kita melihat sokongan anak muda sudah sekian hari kian merosot. Begitu juga kita melihat khususnya di Kinabatangan," tambah beliau. - Awani