Kelantan FC kecundang 1-2 di tangan Kuching City

Iklan
Miguel Cifuentes diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada aksi Liga Super Kelantan FC menentang Kuching City di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

KELANTAN FC gagal mengekang kebangkitan Kuching City FC apabila kecundang 1-2 pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Beraksi dalam keadaan cuaca yang baik pada sebelah petang, kedua-dua pasukan memperagakan aksi seimbang di babak awal perlawanan.

Iklan
Iklan

Peluang terbaik Kelantan FC hadir pada minit ke-26 menerusi sepakan percuma Mario Arques yang sekadar menggegar tiang gol sebelah kanan pelawat meskipun Norazlan Razali sudah tertewas.

Kelantan FC terus ghairah untuk mencari jaringan semangat, namun dua peluang terhidang menerusi Miguel Cifuentes pada minit ke-28 dan Cristian Rontini minit ke-29 gagal menerjah gawang yang dikawal Norazlan.

Iklan

Selepas itu, Kuching City hampir memecah kebuntuan jaringan menerusi tandukan Abdallah Sudi pada minit ke-39, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan FC, Mohamad Rozaimi Rahmat.

Keputusan terikat tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat aksi babak pertama.

Iklan

Bersambung babak kedua, tuan rumah akhirnya menarik nafas lega apabila jaringan pembukaan yang ditunggu akhirnya menjelma tiba pada minit ke-51 menerusi rembatan Cifuentes selepas gagal diselamatkan oleh Norazlan.

Gol Kelantan FC hanya bertahan lapan minit sahaja apabila Abdallah Sudi menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas bijak menghidu peluang dalam kotak penalti tuan rumah.

Abu Kamara kemudiannya menghukum kepincangan benteng tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-71.

Terdesak dengan jaringan pelawat itu, Kelantan FC cuba bangkit menerusi gerak-gerak menarik namun, berjaya dipatahkan dengan mudah oleh Kuching City.

Keputusan 1-2 sehingga tamat perlawanan menyaksikan Kuching City meraih mata penuh pertama mereka musim ini.