IPOH - Keluarga kepada anggota tentera, Mohamad Tahir Selamat yang meninggal dunia akibat terbakar dalam kemalangan dua motosikal di Pantai Remis pada Khamis, meminta kerajaan meneliti kaedah terbaik pembelian bahan api bagi kegunaan nelayan.
Adik Allahyarham, Mohammad Tahar Selamat, 36, berkata, pembelian melalui pengisian dalam tong atau bekas yang kebiasaan dilakukan oleh golongan itu berisiko tinggi terutama apabila terlibat dalam kemalangan.
Menurutnya, seperti yang dialami abangnya, impak kebakaran disebabkan bahan api itu menyebabkan anggota badan melecur hingga 90 peratus.
"Harap kerajaan dapat fikirkan langkah lain yang lebih sesuai dan selamat kepada semua pengguna.
"Lebih elok haramkan terus pengisian minyak petrol dan diesel dalam bekas.
"Kejadian seperti ini perlu dijadikan pengajaran dan iktibar agar tidak berulang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Mohamad Tahir, 39, yang bertugas di Depot Peluru dan Bahan Letupan Barat Pangakalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 24 jam di Hospital Seri Manjung sekitar jam 3.43 petang pada Jumaat.
Kemalangan sekitar jam 7 pagi itu turut mengorbankan seorang nelayan, Ramli Abdul Hamid, 60, di tempat kejadian.
Siasatan awal polis mendapati, semasa kejadian Ramli yang dalam perjalanan ke jeti membawa bersama sebuah tong berisi 20 liter minyak petrol bagi kegunaan enjin bot.
Mohammad Tahar berkata, pada awalnya mereka sekeluarga menyangka anak ketiga daripada enam beradik itu hanya mengalami kesan lecur biasa dan boleh pulih selepas menerima rawatan.
"Kami terkejut bila tengok keadaan abang di hospital. Rasa sedih dan terkilan bercampur baur.
"Kami reda dengan pemergiannya dalam masa sama, kami sekeluarga berharap kejadian sama tidak berlaku kepada orang lain pula," katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Maokil, Labis Johor dengan istiadat ketenteraan sekitar jam 7 pagi pada Sabtu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun.