SHAH ALAM - Belanjawan 2023 harus dilaksanakan seiring dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) demi memastikan tiada sebarang potensi ketirisan tidak terkawal berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, inisiatif pemantapan tadbir urus melalui NACP adalah kunci kepada komitmen kerajaan memerangi rasuah tanpa sebarang alasan.
"Kejayaan Belanjawan 2023 bukan hanya tertakluk kepada keadilan dalam menyenaraikan pengagihan penerimaan bajet tetapi juga kaedah pengagihan secara telus dan efektif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usul pembentangan Belanjawan 2023 pada petang Jumaat menegaskan bajet tersebut harus mempunyai keupayaan menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga bagi menterjemah kebijakan baharu terutama dalam meninggalkan amalan pembaziran serta rasuah.
Mengulas lanjut, Nurhayati menjelaskan, reformasi institusi melalui pembentangan Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang dijanjikan dalam Belanjawan 2023 juga merupakan sebahagian tuntutan rakyat pernah dikemukakan oleh Rasuah Busters serta rakan gabungannya sebelum ini.
"Kami menyambut baik bagaimanapun keadilan hanya dapat dicapai sekiranya fungsi institusi pendakwaan dan kehakiman dalam negara ini tidak dipengaruhi oleh kuasa eksekutif yang boleh menjejaskan keyakinan serta persepsi rakyat.
"Untuk itu, reformasi institusi yang dicadangkan harus bergerak seiring dengan reformasi lain yang telah dicadangkan sebelum ini oleh Rasuah Busters,” katanya.
Tambahnya, kerenah birokrasi adalah antara halangan yang membuka ruang rasuah cukup besar dalam urusan perkhidmatan awam.
Untuk itu, Nurhayati berpendapat, kaedah pendigitalan dan automasi yang dicadangkan tentunya merupakan usaha baik bagi memastikan tata kelola, ketelusan keterlibatan sektor awam bersama masyarakat dan pemegang taruh.
"Namun, perkara itu memerlukan kompetensi, mutu perkhidmatan cekap dan berupaya mengatasi rungutan rakyat yang selama ini mengharapkan khidmat serta sistem penyampaian lebih berkualiti dan berkesan.
"Dalam pada itu kerajaan harus melihat agenda reformasi pendigitalan perkhidmatan awam, pemberian bonus dan sebagainya. Sejauh manakah ia menjadi paradigma baharu dalam memastikan prestasi kerja yang benar-benar meningkat dengan signifikan, sekali gus mengurangkan isu rasuah dan integriti dalam sektor-sektor berkenaan?” katanya.
Pembentukan NACP pada 29 Januari 2019 adalah antara iltizam yang ditunjukkan oleh negara dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC), dengan Malaysia adalah salah sebuah negara anggota.
Apabila konvensyen berkenaan ditandatangani kerajaan pada 1 Disember 2003, Artikel 5 konvensyen itu menetapkan bahawa sesebuah negara perlu mempunyai strategi antirasuah yang didokumenkan.
NACP adalah bersifat merentas masa dan juga dikenali sebagai sebuah living document yang perlu diselaraskan dengan dasar serta keperluan semasa.
Sebanyak 115 inisiatif di bawah enam bidang keutamaan dan strategi telah digariskan di bawah NACP yang meliputi Tadbir Urus Politik, Pentadbiran Sektor Awam, Perolehan Awam, Perundangan dan Kehakiman, Penguatkuasaan Undang-Undang serta Tadbir Urus Korporat.