BELUM reda isu novel erotis dijual secara leluasa dalam talian dan boleh diperoleh dengan mudah oleh generasi muda, diikuti oleh penghasilan novel cabul oleh penulis yang pernah mendapat pendidikan daripada kampus, kini timbul pula filem lucah yang ditampilkan pembikin karyawan seni. Apa yang telah jadi tanah air tercinta?
Di mana rasa tanggungjawab untuk masyarakat dan nusa? Tidakkah golongan ini merasa malu memperihalkan sesuatu yang di luar batasan sebagai warga Malaysia dan rakyat ranah Nusantara yang kaya dengan adab dan batas susila. Warisan leluhur bangsa yang sangat sopan dan sarat dengan nilai-nilai luhur serta tinggi pekertinya.
Hari ini, ke mana hilangnya kemulukan dan kemolekan itu yang diganti dengan kebobrokan yang begitu ketara. Adakah anak muda dan generasi kini sudah hilang jati diri dan barangkali telah tidak mengenali leluhur nenek moyang sendiri?
Pepatah petitih, gurindam, syair, seloka, nazam dan pantun Melayu yang kaya dengan keindahan bahasa sewajarnya menjadi pakaian peribadi anak muda untuk lebih mengenali asal usul. Karya yang bernuasa Islami yang pernah dipelopori oleh Hamka, tokoh penulis agamawan Nusantara sewajarnya dibaca, dan dijadikan contoh tauladan.
Filem yang digarap Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seharusnya ditonton dengan mata hati yang terbuka, dan mencari tauladan untuk hari muka. Drama yang berkisar tentang kebaikan, kebenaran dan keindahan kehidupan beragama sewajibnya menjadi pilihan daripada membiarkan diri lalai dan lagha dengan tayangan yang mengasyikkan serta menggiurkan.
Terkini, isu filem Pulau yang dikatakan mengandungi unsur lucah dibikin oleh warga Malaysia. Mengapa terjadi demikian? Ini berkait rapat dengan isu novel erotis yang telah bertahun-tahun dijual secara tanpa rasa bersalah, dan penerbitnya rakus mengaut keuntungan berganda. Sangat menyedihkan dengan situasi yang terjadi.
HILANG PERTIMBANGAN
Pada era sains dan gelombang teknologi, rakyat tanah air makin jahil. Perkara-perkara bobrok semakin menjadi-jadi dan hilang pertimbangan diri.
Hasil karya dan kreativiti seni dijadikan pelepas tekanan dan tegangan untuk mempamerkan kelucahan, kecabulan dan keerotisan. Justeru, di mana letak duduk penapis filem, drama dan penilai novel tanah air? Apakah telah kaku, bisu dan kelu semuanya? Katakan ‘tidak’ kepada golongan yang sewenang-wenangnya menjadikan dunia kreativiti sebagai alat membangunkan kuasa material ketimbang pembentukan rohani dan maknawi.
Dengan lahirnya konsep Madani yang disarankan oleh Perdana Menteri ke-10, sewajarnya perihal ini disambut dengan semangat waja. Apakah erti Madani untuk rakyat Malaysia? Buku Madani yang ditulis oleh Anwar Ibrahim seharusnya dijadikan bacaan wajib untuk seluruh rakyat jelata tanpa mengenal warna kulit, latar belakang pendidikan dan ideologi pendirian.
Ketepikan iklim politik yang tidak stabil dan asyik mencari ketegangan dan perbalahan. Demi melahirkan generasi rabbani dan menuju kepada insan kamil, maka perlulah menghadam dan meneroka buku Madani dengan ketenangan dan keikhlasan.
Negara hari ini telah tenat dengan pelbagai aksi dan karakter warganya yang bermacam tatakelakuan. Justeru, perlunya tatakelola, iaitu badan penapis dan penilai yang lebih ketat untuk melulus atau memperakukan sebarang hasil seni kreativiti sama ada layak diterbitkan atau sebaliknya.
Dalam dunia kesusasteraan tanah air, kerja adaptasi juga salah satu penyumbang kepada melebarkan sayap pengkaryaan. Hubungan antara pengarang dengan karya dan khayalaknya, pembikin filem dan drama, penulis skrip dan pengarah serta media elektronik sangat besar peranannya. Apakah yang perlu karyawan seni tuangkan kepada masyarakat?
Apakah yang perlu dikemukakan produksi drama dan filem kepada anak bangsanya? Adakah kerana tersihir dengan Barat, maka perlu meniru bulat-bulat perihal mereka tanpa memikir kesan kepada nilai-nilai ketimuran dan peradaban nusa? Sudah hilangkah keutuhan jiwa yang dimiliki sebagai warga nusantara dan anak kelahiran Timur yang kaya dengan keindahan peribadi, dan hemah tingkah laku?
ADAPTASI
Filem Imam akan ditayangkan menjelang Mac 2023 merupakan adaptasi daripada novel Imam hasil karya Abdullah Hussain. Novel Imam wajar dihayati anak muda sebelum berduyunduyun menonton di pawagam kerana hasil karya Sasterawan Negara ini telah memenangi Hadiah Pak Sako suatu ketika. Apakah piawaian yang kita sediakan untuk diri sendiri sebelum mampir menonton di skrin besar di layar?
Antaranya cari novel Imam dan bacalah dengan penuh taakulan agar perutusan yang mahu disampaikan pengarangnya sampai ke lubuk hati pembaca.
Novel Imam walaupun terhasil pada tahun 1990-an, namun tetap relevan sehingga kini. Isu tentang kepemimpinan, persaudaraan dan keikhlasan diutarakan pengarang untuk semua lapisan masyarakat pembaca merenung dan bermuhasabah tentang sebuah kehidupan yang sarat onak dan duri.
Hanya kebijaksanaan dan kematangan yang tercorak pada diri pengarang, dan akhirnya tertumpah kepada para pembaca disusuli kepada penonton filem bahawa seni kreativiti dan pengkaryaan merupakan suatu ruang rentas ilmu dan disiplin.
Karya sastera Melayu bukan hanya untuk berhibur dan mengisi masa lapang. Pada masa sama, ia medan penghujahan dan tunjang kepada keunggulan sebuah keperibadian sejajar dengan konsep Madani yang digagaskan dalam buku Madani.
Hayati dan terokai enam rukun yang terpancar dalam Madani iaitu kemampanan, daya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.
Semuanya bersatu menuju kepada kebaikan, kebenaran dan keindahan dalam sebuah negara yang hidup dalam naungan kasih sayang, sama ada kepada Yang Maha Pencipta (hubungan manusia dengan Tuhan), atau sesama manusia (hubungan manusia dengan manusia), seterusnya dengan alam (hubungan manusia dengan alam) diikat dalam satu rumpun yang padu.
Oleh yang demikian, sebagaimana ungkapan Hamzah Fansuri dalam Syair Perahu wajar dijadikan renungan:"Hai muda arif budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman, alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan memperbetuli insan.”
* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM.