KOTA BHARU - Ketua jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik mendedahkan hilang fokus menjadi punca utama pasukannya tumpas 1-2 di tangan Kuching City FC pada perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini petang Sabtu.
Moon-sik berkata, selepas berjaya merobek kubu pelawat barisan pemainnya dilihat hilang 'arah' sehingga gagal beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.
"Keputusan itu mengecewakan. Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin namun sebaliknya.
"Berpandukan kepada keputusan itu, saya sudah mengenal pasti beberapa aspek baik dan yang perlu diperbaiki untuk perlawanan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan pada Sabtu.
Menurut beliau, kesempatan yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbetulkan kesilapan bagi memastikan keputusan lebih baik dapat dilakar selepas ini.
Ujarnya, kekalahan di tangan Kuching City FC tidak menggugat sasaran The Red Warriors (TRW) untuk berada di kelompok 10 pasukan terbaik musim ini.
Bekas pemain Piala Dunia Korea Selatan 1996 itu berkata, beberapa pemain import baharu yang masih belum melaporkan diri merencatkan sedikit perancangannya.
"Selepas mereka semua menyertai pasukan, kita akan tampil lebih baik selepas ini," katanya.
Sementara itu, pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim memuji semangat yang diperagakan oleh barisan pemain apabila berjaya bangkit untuk melakar kemenangan walaupun ketinggalan pada satu ketika.
Ujarnya, kemenangan itu merupakan satu permulaan baik buat Kuching City FC kerana kebiasaannya perlawanan pembuka tirai akan berkesudahan dengan keputusan seri.
Pada perlawanan itu, Kelantan FC yang beraksi di laman sendiri terpaksa menunggu sehingga minit ke-51 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan Miguel Cifuentes.
Bagaimanapun, Kuching City FC bangkit melakar kemenangan menerusi Abdallah Sudi dan Abu Kamara masing-masing pada minit ke-59 dan minit ke-71.