MELAKA - Bersatu Melaka menyambut baik penyertaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ke dalam parti itu.
Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kebolehan yang ada pada Mas Ermieyati diharap dapat membantu kerajaan hari ini dalam membela nasib golongan terpinggir terutama masyarakat Melayu.
"Dia seorang pemimpin ada berkebolehan dan memahami apa yang harus dilakukan oleh kerajaan serta amat peka tentang pembangunan rakyat terpinggir terutamanya bangsa Melayu."Dia mahu bersama dengan pergerakan-pergerakan yang menjuarai hala tuju perjuangan untuk memastikan peringkat-peringkat golongan terpinggir ini terbela sama dengan hala tuju dibawa oleh parti Bersatu dan kerajaan PH yang baharu.
"Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan," katanya.
Hari ini anggota Parlimen Masjid Tanah dan juga bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno itu mengumumkan menyertai Bersatu.
Di dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook, pemimpin itu berkata, penyertaannya ke dalam parti itu dibuat atas dasar mahukan yang terbaik untuk pengundi Masjid Tanah dan sentiasa mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan mereka.