Hasni tekad kukuhkan UMNO

Iklan
Hasni Mohammad. - Foto Bernama.

JOHOR BAHRU - Pengukuhan parti menjadi fokus perjuangan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bagi penggal 2023- 2026.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pengalaman di dalam UMNO dan pentadbiran negeri sebelum ini akan digunakan bagi supaya parti menjadi suara sebenar kepada orang Melayu dan bukan sekadar memanaskan kerusi kabinet kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

"Saya akan gunakan pengalaman yang ada supaya setiap keputusan yang akan dibuat parti merupakan keutamaan yang diharapkan akar umbi yang mahu UMNO menjadi wadah perjuangan mereka.

"Ketika ini, kita perlu menggembleng seluruh tenaga tidak kira apa juga kaedahnya kerana UMNO pada masa kini hanya memiliki enam Menteri dengan seorang dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menjelaskan di peringkat Naib Presiden UMNO, suara dan peranan parti boleh disampaikan terus kepada Presiden UMNO.

"Sekiranya kita merasakan dengan adanya Timbalan Perdana Menteri dari UMNO menjadi satu kelebihan kepada kekuatan parti seharusnya ia jelas. Kita tidak mahu UMNO dituduh hanya memanaskan kerusi sahaja

Iklan

"Suara dan peranan parti perlu jelas ketika ini supaya setiap perkara yang boleh ditambah baik dapat dilaksanakan seterusnya meyakinkan ahli parti dengan lebih jelas," katanya.

Bekas Pengerusi UMNO Johor itu menambah keutamaan kepada pengukuhan parti perlu jelas supaya hala tuju dan perancangan parti yang kini berdepan cabaran cukup besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, rata-rata orang Melayu terutama di Johor masih menunjukkan harapan besar kepada UMNO biarpun pada PRU15 lalu, tidak memihak kepada parti malah di sesetengah negeri berlaku penolakan yang jelas.

"Namun sewaktu pemilihan UMNO kali ini, ramai yang tampil menawarkan diri untuk bersama dengan parti. Mereka mahu menjadikan UMNO kekal relevan dalam kalangan orang Melayu.

"Oleh itu, UMNO harus meneruskan perjuangannya dan UMNO masih kuat dan kita semua dapat rasakannya. Disebabkan itu, saya yakin melalui penawaran sebagai calon Naib Presiden di samping pengalaman dalam parti dan mengemudi negeri ia dapat digunakan untuk memperkukuhkan kepimpinan parti," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pontian ini menjelaskan pengalaman menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan pernah memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO serta Ketua Pembangkang Johor dalam keadaan yang begitu tertekan merupakan pengalaman paling berharga.

Bagi jawatan Naib Presiden UMNO, Hasni bakal berhadapan saingan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut mendapat tentangan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.