Tiada pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal

Iklan
Ahmad Faizal menjelaskan Kerajaan Perak mengamalkan dasar pembalakan sifar di kawasan Hutan Simpan Kekal yang telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Tadahan Air ketika Sidang DUN Perak, hari ini.

IPOH - Kerajaan Perak mengamalkan dasar pembalakan sifar di kawasan Hutan Simpan Kekal yang telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Tadahan Air.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini tiada sebarang kelulusan pengusahasilan di kawasan Hutan Perlindungan seperti di kawasan Hutan Tadahan Air diluluskan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kawasan tersebut kekal terpelihara.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Perak mengambil peranan dalam melindungi alam sekitar terutamanya bagi kawasan tadahan air dengan mewartakan kawasan Hutan Tadahan Air di Negeri Perak pada tahun 2007 seluas 159,866 hektar.

"Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan pindaan keluasan Kawasan Hutan Tadahan Air melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Bil. 1859 pada 1 Jun 2016 iaitu seluas 295,400.82 hektar dengan pertambahan sebanyak 135,534.82 hektar tetapi masih dalam proses pewartaan," katanya menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang-BN) ketika Sidang DUN Perak, hari ini.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Perak telah mengambil beberapa inisiatif yang menjurus kepada kebajikan masyarakat Orang Asli dalam soal pengurusan hutan.

Katanya, antara inisiatif tersebut ialah melancarkan program Perhutanan Sosial yang merupakan satu program yang membenarkan masyarakat orang asli menjalankan aktiviti di dalam atau sekitar kawasan Hutan Simpanan Kekal melalui aktiviti-aktiviti ekopelancongan.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan juga memberi peluang peluang penjanaan pendapatan kepada masyarakat melalui program khusus kepada masyarakat orang asli seperti melatih masyarakat berkenaan yang berminat sebagai malim gunung.

Menurutnya, masyarakat orang asli juga turut dibantu dalam menubuhkan nurseri pokok hutan dan seterusnya mewujudkan peluang ekonomi melalui inisiatif pembelian semula.