Rapid Rail tambah bas perantara LRT11 tampung operasi

Iklan
Rapid Rail menambah 15 buah bas perantara LRT11 Ampang/ Sri Petaling ditambah dengan kekerapan setiap 10 minit mulai Isnin. - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Perkhidmatan bas perantara LRT11 yang beroperasi di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya akan ditambah mulai Isnin bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan terbabit..

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan kekerapan tren di antara Sentul Timur dan Bandaraya akan dikurangkan atas faktor keselamatan.

Iklan
Iklan

Justeru, 15 buah bas perantara LRT11 akan beroperasi di antara kedua-dua stesen tersebut dengan kekerapan setiap 10 minit.

"Perkhidmatan bas tersebut yang telah diaktifkan semula pada Khamis lepas akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambah Rapid Rail, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyokong laluan khas bas bagi melancarkan perjalanan selain anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditugaskan di stesen tersebut bagi membantu mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform.

Jelasnya, kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Iklan

"Lima buah tren yang sebelum ini digunakan di antara Sentul Timur dan Bandaraya tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani penyelenggaraan.

"Ekoran itu, didapati hanya dua daripada lima buah tren kini memenuhi kriteria keselamatan dan operasi yang ditetapkan sementara tiga buah tren lagi telah dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Rapid Rail berkata, kedua-dua tren tersebut akan digunakan secara bergilir-gilir bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas bermula Isnin dan beroperasi pada tahap optimum.

Ujarnya, langkah ini sekaligus mengelakkan penutupan sepenuhnya stesen-stesen di antara Sentul Timur dan Bandaraya.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dialami oleh para penumpang dalam tempoh ini dan akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesulitan yang dialami,” katanya.