Kes berita palsu meningkat, rakyat Malaysia perlu celik digital

Iklan
Nie Ching bercakap kepada pemberita pada Ahad.

IPOH - Kes sebaran berita palsu yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencatatkan peningkatan mendadak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pada Januari ini sahaja, sebanyak 35 kes berita palsu telah direkodkan, jumlah itu tinggi berbanding keseluruhan kes dicatatkan sepanjang tahun lalu iaitu 48.

Iklan
Iklan

"Sejak 2020, jumlah kes disiasat adalah 444, bagaimanapun tahun lalu hanya 48 kes sahaja.

"Januari tahun ini kita nampak ada peningkatan kerana dalam tempoh satu bulan, sudah ada 35 kes telah disiasat.

Iklan

"Kalau ikut trend ini, maksudnya sepanjang tahun ini mungkin kes yang disiasat akan mencapai lebih 350 kes," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Perak di Medan Selera Stadium di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kementerian memberi fokus utama mengawal penyebaran berita palsu termasuk ucapan berunsur kebencian di media sosial dalam usaha memastikan kestabilan dan keharmonian negara tidak terancam.

Iklan

Katanya, langkah itu termasuklah melalui peranan dimainkan agensinya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan serta kerjasama dengan penyedia media sosial untuk menurunkan segara kandungan yang tidak benar.

"Tanggungjawab jabatan ini apabila ada berita palsu, cepat-cepat keluarkan penafian atau betulkan kenyataan itu secepat mungkin supaya orang ramai ada akses dapatkan maklumat yang betul.

"Tetapi sifat berita palsu ini cepat jadi tular, jadi segala usaha untuk betulkan berita palsu itu, sudah jadi tak tular.

"Harap rakyat Malaysia akan jadi lebih celik digital dan janganlah banyak buat kenyataan palsu serta kandungan tidak sesuai," katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, peruntukan RM10 juta geran pengoperasian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) 2023 menerusi Belanjawan 2023 dapat memperkukuh peranan pusat itu membantu menyekat pengaliran keluar wang mangsa penipuan dalam talian dengan lebih efektif.

Katanya, NSRC yang bertindak sebagai pusat respons setempat telah menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), CyberSecurity Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), SKMM, institusi perbankan serta syarikat telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa-mangsa penipuan dalam talian.

"Paling penting kita hendak menyekat aliran wang itu keluar negara kerana kebanyakan mangsa terpaksa berputih mata apabila tidak mendapat semula wang simpanan mereka.

"Sekiranya kes berlaku dalam tempoh 24 jam dan institusi bank mendapat maklumat, mereka boleh membuat sekatan terhadap duit tersebut," katanya.