SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bukan populariti yang dicari, sebaliknya menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri adalah keutamaannya.
Menurutnya, jika mahu mencari perhatian, maka lebih baik beliau memasuki program realiti berbanding politik.
Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan tujuannya menjadi ahli politik adalah mengembalikan kestabilan negara khususnya ekonomi.
"Saya sebagai ahli politik tidak terlalu terikut-terikut (untuk popular) supaya 'dilambung' dan 'dimain' oleh pihak media atau media sosial.
"Tugas saya sebagai menteri ialah memperbaiki keadaan struktur ekonomi yang ada sekarang ini," katanya ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai skor rendah yang diberikan rakyat kepada beliau dalam kaji selidik baru-baru ini.
Tambah Rafizi, beliau tahu rakyat kurang 'gemar' dengannya kerana soal harga barang yang naik mendadak yang dilihat kini bukan membantu namun menambah beban mereka.
Ujarnya, perkara itu bukan boleh diselesaikan dalam tempoh masa pendek dan sukar dilakukan dengan keadaan ekonomi sekarang selain ditambah lagi hutang negara.
Jelasnya lagi, untuk menurunkan harga barang, kerajaan perlu mengatasi dalam segi pembekalan dan permintaan yang melibatkan orang ramai.
"Saya faham yang betul-betul diperhatikan rakyat hari ini adalah soal harga barang, perkara ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh satu hingga tiga minggu.
"Sebab itu sama dengan soal perancangan ekonomi, kita ada masalah struktur yang besar dan tiada wang seperti sebelum ini (dan) hutang RM1.5 trilion.
"Sebagai kerajaan dan ahli politik kita menumpukan kepada penyelesaian masalah jangka panjang. Justeru, ahli politik tidak boleh mengharapkan orang untuk berterima kasih atau merasakan kita sudah menjalankan kerja," ujarnya.