KUANTAN - Pembinaan jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata di Cameron Highlands, Pahang yang diumumkan pada Belanjawan 2023 akan membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di lokasi peranginan tanah tinggi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata ia juga bersifat 'serampang dua mata' kerana turut membawa kebaikan kepada industri pelancongan di situ.
"Kesesakan (di Cameron Highlands) sering berlaku pada hujung minggu dan cuti sekolah kerana pertambahan pelancong dan isu ini telah berlarutan untuk tempoh masa yang lama selain sering dibangkitkan wakil rakyat di situ.
"Pembinaan jalan baharu adalah situasi menang-menang bukan hanya kepada pelancong dan penduduk tetapi juga kepada logistik rangkaian bekalan makanan kerana penanaman sayur juga sumber ekonomi utama penduduk di situ," katanya semasa dihubungi di sini pada Ahad.
Leong berkata demikian diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata dengan kos RM480 juta pada pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata Ho Chi Yang yang turut bersetuju pembinaan jalan itu berkata, ia membantu mengatasi masalah kesesakan, bagaimanapun berharap pelaksanaannya akan mengambil kira faktor alam sekitar di Cameron Highlands."Saya berharap kajian yang telah dibuat dan pembinaan jalan alternatif itu nanti akan meminimumkan impak alam sekitar dan menjaga kelestarian alam," katanya.
Pengusaha kenderaan sewa di kawasan pelancongan itu, Abdul Hadi Harun, 30, pula berharap jalan itu apabila siap kelak menjadi 'nilai tambah' kepada rakyat negara ini untuk terus menjadikan Cameron Highlands sebagai destinasi percutian pilihan.
Beliau yang menjalankan perniagaan itu sejak setahun lepas turut berpandangan keadaan tersebut akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang banyak bergantung kepada kehadiran pelancong.
"Ada orang mengelak berkunjung ke Cameron Highlands pada waktu tertentu seperti cuti sekolah kerana enggan terlalu lama berada dalam kereta akibat kesesakan jalan raya.
"Sebagai pemain industri pelancongan, sudah pasti kami mahu melihat seramai mungkin pelancong... pembinaan jalan baharu jika dibuat tanpa perlu melalui pekan utama akan memberi alternatif kepada pengguna," katanya.- Bernama.