EmpowerNCER tawar kursus kemahiran, keusahawanan

Iklan
Satees (tengah) bersama peserta yang hadir mengikuti sesi taklimat Program Hebahan empowerNCER Kemahiran dan Keusahawanan Pulau Pinang di Kampung Benggali pada Ahad.

BUTTERWORTH - Golongan B40 diseru agar tidak melepaskan peluang menyertai Program empowerNCER: Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang dianjurkan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata, program empowerNCER akan melahirkan tenaga kerja mahir dan usahawan baharu selepas melengkapkan kursus mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui program yang disediakan, peserta terpilih bukan sahaja diberi bimbingan dan latihan dalam bidang pengkhususan masing-masing, namun mereka juga akan menerima bantuan peralatan sebagai kit permulaan untuk berniaga.

"Program ini dilihat mampu membantu masyarakat B40 untuk mengubah hidup mereka dalam meningkatkan sosio ekonomi sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.

Iklan

"Ia bukan sahaja merentasi kaum dan agama malah semua lapisan masyarakat harus merebut peluang menyertai program yang dianjurkan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Program Hebahan empowerNCER Kemahiran dan Keusahawanan Pulau Pinang di Kampung Benggali pada Ahad.

Hadir sama, Pengurus project empowerNCER Pulau Pinang, Velmuruga Kalimuthu dah Ketua Pejabat Negeri NCIA Pulau Pinang, Nurul Saidatul Nadia Zulkifli.

Iklan

Pelbagai kursus yang ditawarkan melalui program empowerNCER seperti kursus jahitan dan fesyen, seni gaya rambut dan penjagaan diri, pengeluaran makanan sejuk beku, pertanian hidroponik dan penternakan.

Turut disediakan kursus konfeksionari, bakeri dan seni kulinari, pengurusan acara dan pendawaian elektrik industri.

Terdapat juga kursus-kursus moden seperti masakan retort, pendawaian optik dan kuprum, penanaman cendawan dan sebagainya.

Semua peserta terpilih akan berpeluang mengikuti program ini tanpa perlu membayar sebarang yuran.