PENGENDALI Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak mengakui tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang menyaksikan pasukannya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Penang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.
Menurutnya, beliau akan menghantar surat bantahan berhubung mutu pengadilan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun sedar ia tidak akan dapat mengubah keputusan.
"Apabila saya duduk di sini, saya akan berfikir terlebih dahulu sama ada boleh bercakap tentang pengadil perlawanan. Tetapi, jika saya komen, saya akan berdepan masalah.
"Saya akan didenda atau digantung jika membuat komen. Tetapi, apabila saya fikirkan kembali kenapa kami sebagai jurulatih tidak boleh memberikan pandangan?
"Sudah tentu, pasukan boleh membuat bantahan dengan bukti video dan sebagainya tetapi keputusan tetap sama. Boleh anda berikan kembali dua mata tersebut?Tidak," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau juga berharap agar FAM dapat mempertimbangkan untuk mengubah peraturan membolehkan jurulatih memberikan pendapat mengenai jurulatih dan isu bola sepak yang lain.
"Dengan cara ini ia akan menambah baik kualiti liga," katanya.
Selepas ini, KL City akan berhadapan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim pada Rabu dan Bojan mahu pasukannya fokus kepada perlawanan tersebut.
"Padang hari ini agak teruk. Bola melantun terutama di dalam kotak penalti. Saya harap padang akan bersedia untuk perlawanan seterusnya.
"Apabila menyewa padang, sudah tentu menjangkakan ia berada dalam keadaan baik. Kita semua bercakap tentang bola sepak profesional tetapi padang hari ini benar-benar mengerikan," ujarnya.