Penambahbaikan aset Kementerian Pertahanan jadi keutamaan

Iklan
Adly merasmikan Pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di sini pada Ahad. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Penambahbaikan aset milik Kementerian Pertahanan akan diberi perhatian utama menerusi peruntukan disalurkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, menerusi peruntukan itu, beberapa aset baharu akan dibeli termasuk pesawat tempur ringan FA-50, kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal misi pesisir (LMS).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesiapsiagaan semua aset kementerian pada setiap masa adalah penting agar kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terjamin.

"Jadi kita akan pastikan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri khususnya untuk mendapatkan aset baharu dilaksanakan seperti dirancang dan kelulusan perolehan pembangunan akan menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di sini pada Ahad.

Iklan

Adly berkata, peruntukan lebih RM500 juta untuk menyelenggara Rumah Angkatan Tentera selain membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri, antara perkara yang dinantikan anggota keluarga tentera.

Beliau berkata, isu penyelenggaraan rumah anggota tentera sudah lama diperjuangkan dan menerusi peruntukan besar yang disalurkan itu, ia dapat memastikan ahli keluarga anggota tentera tinggal dalam kediaman yang lebih selesa dan selamat.

Iklan

Dalam pada itu, Adly berkata, projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik yang akan diusahakan veteran tentera dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memberi peluang kepada veteran menyumbang kepada negara selain menjadikan mereka produktif walaupun sudah bersara.

"Kebajikan mereka juga akan terjamin kerana ada peluang pekerjaan dan pendapatan yang baik selain memberi pendedahan kepada golongan tersebut kepada penggunaan teknologi baharu selain membantu meningkatkan keterjaminan makanan negara," katanya. - Bernama