Skuad Piala Sudirman 2023 negara mungkin dirombak

Iklan
Choong Hann

PRESTASI pemain badminton negara akan dinilai semula menerusi beberapa siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum senarai akhir pemain diputuskan bagi menghadapi Piala Sudirman, Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan terhadap skuad yang diturunkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Pemenang pingat emas tiga kali Sukan Komanwel itu menjelaskan semua pemain akan diberi peluang sama rata tanpa mengira status mereka, bagi memastikan pemain yang benar-benar layak berada dalam pasukan kebangsaan.

Beliau yang berpendapat pasukan negara belum benar-benar mantap untuk berada dalam ranking empat teratas dunia, berkata banyak perkara yang perlu diteliti semula dan ditambah baik berdasarkan aksi di BAMTC.

Iklan

Ditanya sama ada perseorangan lelaki Ng Tze Yong akan beraksi pada Piala Sudirman, Choong Hann berkata, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu perlu sentiasa bersedia dan memastikan prestasinya pada tahap terbaik untuk membantu pasukan di kejohanan tersebut.

Pada kempen BAMTC di Dubai, Malaysia diwakili Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagi perseorangan lelaki; Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki); Pearly Tan-M. Thinaah dan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Iklan

Pada kejohanan itu Malaysia menamatkan kempen di suku akhir apabila tewas 2-3 kepada China.

Untuk rekod, Piala Sudirman 2023 akan berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei ini.